PERANG SAUDARA SYRIA AMAT KUSUT

Oleh Dr Alimin Muslimin

Perang saudara di Syria amat kusut kerana ia melibatkan pelbagai pihak termasuk rakyat Syria sendiri serta penglibatan beberapa kuasa luar serta golongan ekstremis militan seperti Al-Qaeda, Kurdis dan ISIS.

Ia telah bermula sejak 2011 dan terus berlarutan sehingga mengakibatkan 210 ribu nyawa yang kebanyakannya terdiri daripada orang awam bersama 25 ribu kanak-kanak yang tidak berdosa.

Dalam pada itu pula, 6 juta rakyat Syria menjadi pelarian di negara sendiri, manakala lebih ramai lagi yang berkemampuan telah meninggalkan Syria.

Pada mulanya ia adalah satu perbalahan antara rakyat yang mahukan demokrasi supaya kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad mahu mendengar pandangan dan keluhan mereka.

Emosi dan desakan rakyat melonjak dengan gelombang ‘Arab Spring’ di beberapa negara Teluk atas nama demokrasi, sedangkan Bashar Al-Assad tidak dapat menerima aliran pemikiran yang dilihatnya lebih kepada hasutan pihak Barat.

Kehendak dan suara rakyat lantas membina revolusi yang tidak dapat diterima oleh Assad lalu bertindak dengan kuasa ketenteraan. Rakyat sekadar mahu suara mereka didengari kerajaan Bashar bukannya dibalas dengan kuasa ketenteraan.

Lebih malang lagi apabila Bashar bukan sahaja mahu rakyat menutup mulut mereka, sebaliknya terus bertindak ala autoritarian atau diktator dengan serangan bom ke atas rakyat awam yang hanya mempunyai kekuatan suara sahaja.

Tindakan ketenteraan Bashar yang pertama ke atas rakyat Syria berlaku pada Mac 2011, apabila Bashar menyerang demonstrasi aman rakyat.

Keadaan menjadi lebih kusut apabila terdapat dalam kalangan tentera yang turut bersama rakyat, lalu bertindak balas menentang pihak tentera Bashar dengan senjata.

Malahan pada 21 Ogos 2013 dunia terus digemparkan apabila Bashar dituduh menggunakan senjata kimia di Timur Ghoutah iaitu kawasan pinggir Bandar Damsyik dengan 1400 kematian termasuk sebahagian besarnya kanak-kanak yang tidak berdosa.

Lantas terbentuklah daripada kalangan rakyat, kumpulan pejuang demokrasi yang dinamakan Free Syrian Army (Tenterta Pembebasan Syria) atau FSA bertujuan menentang Bashar. Maka bermulalah perang saudara antara rakyat (FSA) dengan pemerintahan diktator Bashar Al-Assad.

Negara tetangga seperti Arab Saudi, Qatar, Turki dan yang lainnya amat gusar sekiranya perang saudara Syria turut merebak, apatah lagi ia melibatkan negara Syiah Iran yang membawa aliran agama yang bertentangan dengan Islam.

Israel yang sememangnya amat memusuhi Iran juga amat tidak tenteram dengan perang saudara di Syria itu.

Negara Eropah pula kesal kerana perbalahan dalam perang saudara Syria itu terus menutup harapan mereka untuk mendapatkan bekalan gas dari Qatar melalui saluran yang melintasi Syria. Bekalan gas amat penting terutamanya pada musim sejuk.

Orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak cuba menyelamatkan diri di bandar
Douma, yang dipertahankan oleh pasuka FSA.

Manakala Rusia pula membantah projek saluran gas yang akan dibina dari Qatar melintasi Syria ke negara-negara Eropah supaya bekalan gasnya yang sedia ada kepada negara-negara berkenaan tidak terjejas. Syria patuh kepada bantahan Rusia.

Iran pula mengambil kesempatan untuk memperluaskan pengaruh fahaman Syiah di Syria mahupun di negara-negara Teluk yang lain. Dengan matlamat sedemikian, atas alasan mahu membantu Bashar, Iran telah memberikan bantuan ketenteraan baik dari segi senjata mahupun unit tentera.

Perkembangan sedemikianlah yang telah membuatkan miroriti Syiah yang membentuk hanya 8%-9% daripada jumlah penduduk Syria mendominasi kuasa ketenteraan dan politik Syria dan menjadikan Bashar sekadar boneka Syiah Iran.

Manakala 91% lagi yang majoritinya adalah umat Islam Sunni yang berpegang kepada fahaman Ahlul-Sunnah Waljamaah, telah menjadi mangsa keganasan ektremis Syiah. Dengan kuasa dan kekuatan tentera yang ada pada golongan Syiah dari tentera Iran, rakyat awam dari kalangan wanita diperkosa dan kanak-kanak dibunuh, manakala kaum lelaki Sunni diseksa dan dibunuh.

Walau bagaimanapun sememangnya kumpulan-kumpulan militan seperti Al-Qaeda, Kurdis dan ISIS sudahpun bertapak dan menguasai beberapa daerah di Syria.

Untuk mengelirukan dunia bahawa dia sedang menentang kumpulan pelampau Militan Islam seperti ISIS dan Al-Qaeda, Bashar telah membebaskan banduan-banduan yang menggolongkan diri mereka sebagai mujahid. Pembebasan golongan ini mewajarkan lagi tindakan Bashar sebagai memerangi ektremis militan Islam apabila golongan ini mempengaruhi FSA dan turut berjuang bersama mereka menentang Bashar.

Malah dalam konteks strategi peperangan Bashar dan tenteranya yang terdiri daripada tentera Syiah Iran telah menggunakan kanak-kanak dan wanita sebagai perisai untuk menentang serangan FSA serta pihak yang bersama FSA.

Dunia kini melihat bahawa FSA serta pasukan yang membantu mereka sebagai ganas kerana telah menyerang orang awam, sedang apa yang berlaku sebenarnya ialah wanita dan kanak-kanak dijadikan perisai oleh pihak Bashar.

Pemimpin negara-negara Teluk pula tidak dapat menerima pengaruh Syiah Iran di Syria serta keganasan yang wewenang ke atas rakyat dan orang awam yang tidak berdosa.

Dengan itu jugalah penyokong Ahlul Sunnah Waljamaah dari negara-negara Islam seperti Indonesia dan ada juga dari Malaysia yang turut terlibat membantu FSA.

Pada 7 April 2018, Bashar telah didakwa menggunakan senjata kimia untuk menyerang pemberontak FSA di Douma, Syria. Douma adalah bandar terakhir yang dikuasai oleh pihak pemberontak di wilayah Ghouta Timur yang sedia dikepung oleh tentera Bashar dengan bantuan Rusia.

Kanak-kanak yang tidak berdosa turut menjadi mangsa perang saudara Syria

Dalam serangan itu lebih 500 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 70 mangsa maut dalam rumah dan jumlah kematian meningkat dari sehari ke sehari. Dianggarkan 1000 lagi mangsa sedang menderita akibat senjata kimia tersebut.

Tragedi itu disahkan oleh pasukan keamanan White Helmets yang turut membantu orang awam yang menjadi mangsa perang saudara Syria.


Pasukan White Helmets membantu orang awam yang menjadi mangsa serangan tentera Bashar

Pada April 2017, tentera Bashar juga telah diperakui oleh pasukan keselamatan PBB atas tuduhan menggunakan kimia beracun untuk menentang rakyat yang memberontak. Lebih 80 mangsa daripada kalangan orang awam telah terbunuh.

Penggunaan senjata kimia oleh tentera Bashar telah membangkitkan kemarahan dunia termasuk Amerika Syarikat, Britain, Peranchis, Jerman, Denmark dan Belanda.

Sebagai tindak balas terhadap penggunaan senjata kimia Syria pada April tahun lalu, Amerika telah mengarahkan bedilan peluru berpandu Tomahawk untuk memusnahkan pangkalan udara Syria tanpa mempedulikan amaran Rusia.

Serangan ke atas Syria turut disertai oleh sekutu Amerika Syarikat iaitu Britain dan Peranchis apabila Bashar didakwa menggunakan senjata kimia yang amat berbahaya bukan sahaja kepada rakyat Syria, malah turut mengancam keselamatan dunia.

Arab Saudi, Turki dan Qatar juga telah turut membantu menyelamatkan rakyat Syria yang tidak berdosa. Apatah lagi pengaruh Syiah Iran di negara jiran itu adalah ancaman besar kepada agama Islam yang berpegang kepada Sunnah dan Al-Quran. Golongan Syiah Iran tidak berpegang kepada Al-Quran Nur Karim sebaliknya mereka mempunyai kitab mereka sendiri.

Penganut Syiah juga tidak berpegang kepada Sunnah Rasulullah SAW, sebaliknya hanya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh pencatat yang mereka golongkan sebagai Al-Baits. Ia amat mengecewakan kerana Syria atau dulunya dikenali sebagai Syam, telah menjadi negara tempat Rasulullah SAW berniaga.

Di Malaysia ajaran dan amalan agama Syiah digolongkan sebagai sesat dan terkeluar daripada ajaran Islam yang tulen.

Walau bagaimanapun perkembangan di Syria pastinya tidak menjanjikan apa-apa kemenangan kepada golongan rakyat yang menentang Bashar, Syiah Iran dan Rusia.

Perkembangan mutakhir memperlihatkan Bashar telah menguasai kawasan FSA, di Damsyik, dan Ghouta Timur.

Tragedi pemerkosaan oleh tentera Syiah keatas wanita, pembunuhan kanak-kanak dan kezaliman ke atas tahanan perang terus menjadi-jadi tanpa belas kasihan.

Apa yang dikhuatiri, dengan kemelut sedemikian, Syria berpotensi menjadi punca kepada Perang Dunia Ketiga.

*Tamat*

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s