Kemurahan hati kerajaan Arab Saudi sebagai penjaga dua Masjid Suci Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi (Masjid Nabi) tidak boleh dipertikaikan.
Malahan kerajaan pimpinan Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud telah menunjukkan iltizamnya yang tinggi sebagai pemegang amanah Allah dengan membina prasarana perbandaran bagi kedua-dua kota suci Islam iaitu Mekah dan Madinah demi keselesaan umat Islam dalam menunaikan ibadah Haji dan Umrah.
Kepentingan menjaga amanah Allah dalam hal memelihara keselamatan, kebajikan dan pembangunan dua Masjid suci serta kota kedudukannya, kerajaan Arab Saudi telah mewujudkan Kementerian Haji dan Umrah bagi mengendalikan segala urusan dan hal ehwal yang berkaitan dengan jemaah yang datang dari seluruh dunia pada setiap ketika.
Lihat sahaja pada kronologi perubahan prasarana Mekah yang jelas bagi kemudahan dan keselesaan jemaah Haji dan Umrah.



Komitmen tinggi pentadbiran Raja Salman juga melibatkan isu keselamatan yang amat kompleks dengan fenomena eksremisme serta keganasan antarabangsa masakini yang boleh sahaja menyusup masuk melalui jutaan jemaah Haji dan Umrah.
Walau bagaimanapun dengan bantuan Allah serta kebijaksanaan pentadbiran baginda, segala masalah yang berkaitan dengannya telah dapat diatasi dengan baik.
Jumlah visa Umrah yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi tahun 2018-2019 telah melebihi 4.1 juta.
Menurut data yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah, jumlah keseluruhan visa yang diluluskan ialah 4,116,827, di mana 3,672,648 jemaah telah tiba di Saudi dan terdapat 439,785 jemaah masih berada dalam negara, dengan 302,263 di Mekah dan 137,522 di Madinah.
Majoriti jemaah iaitu seramai 3,266,663, memasuki Arab Saudi untuk menunaikan Umrah menggunakan kapal terbang, manakala 374,915 jemaah memasuki Arab Saudi melalui jalan darat dan baki 31,070 tiba di Saudi dengan menggunakan jalan laut.

Sebagaimana yang tertera pada carta di atas, jumlah jemaah terbesar adalah daripada Pakistan (910,028), diikuti oleh Indonesia (596,970), India (391,087), Yeman (200,239), Malaysia (193,364), Mesir (189,496), Turki (158,403), Algeria (127,563) dan Bangladesh (93,760).
Walau bagaimanapun, carta tersebut tidak mengambil kira jemaah daripada Eropah, Amerika Syarikat, China, Rusia, Australia dan negara-negara benua Afrika yang lain.
Data pekerja juga menunjukkan bahawa terdapat seramai 8,430 lelaki dan 1,739 wanita yang bekerja di dalam syarikat dan pelbagai institusi Umrah.
Kerajaan Arab Saudi sememangnya menitikberatkan perkhidmatan Haji dan Umrah dan telah mengangkatnya sebagai sebahagian daripada strategi Wawasan 2030 negara.
Antara lain, tindakan pembangunan prasarana yang telah dilaksanakan ialah laluan Saie sehala ulang-alik dari Marwah ke Safa, laluan bertingkat untuk ibadah Tawaf termasuk laluan khas untuk OKU, laluan sehala Jamrah, khemah berhawa dingin di Mina, perkhidmatan kereta api laju Harmain dari mekah ke Madinah, dan hotel yang selesa serta akses yang mudah ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.





Pelan strategi Wawasan 2030 Arab Saudi, telah menyasarkan untuk menarik lebih daripada 30 juta jemaah Umrah, dengan menyediakan prasarana dan perkhidmatan terbaik ketika mereka berada di Arab Saudi agar dapat merasai pengalaman indah yang tidak akan dilupakan.
*****