Menteri Kebudayaan Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan telah mengumumkan inisiatif baru yang direka bentuk untuk mentransformasikan sektor kebudayaan sebagai sebahagian penting dalam kehidupan seharian rakyat dalam satu majlis di Riyadh pada 27 Mac lalu.

Sebelum itu pada majlis yang sama, Kementerian Kebudayaan Saudi telah membentangkan hala tuju kebudayaan negara bertempat di Muzium Daerah di Riyadh.
Putera Badr bertitah, “Kementerian Kebudayaan Arab Saudi berhasrat untuk mereka bentuk suatu persekitaran yang menyokong bakat negara dalam semua bidang dan sektor serta mempertahankan kekayaan dan budaya negara.
“Negara berasa bangga kepada penggerak budaya serta mereka yang berbakat kerana dengan usaha mereka telah membawa pencapaian tinggi yang belum pernah diperolehi sebelum ini serta anugerah penting.”
Terdapat 27 inisiatif yang dibentangkan yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan. Antaranya ialah:
- Arkeb Filem Nasional
- Latihan seni dan budaya
- Program budaya kanak-kanak
- Festival budaya
- Dokumentasi tradisi lisan dan warisan yang pupus
- Pameran seni kontemporari
- Pembangunan perpustakaan awam
- Minggu fesyen
- Festival masakan nasional
- Seni pada pentas masyarakat
- Skim visa seniman
- Bandar budaya Saudi
- Anugerah budaya untuk seni dan sastera
- Rumah budaya
- Panggung kebangsaan
- Biasiswa budaya
- Pesta filem Laut Merah
- Pusat Bahasa Arab Raja Salman

“Kementerian Kebudayaan Arab Saudi telah berusaha untuk menyebarkan budaya Arab Saudi yang kaya dengan cara yang terbaik berdasarkan matlamat rancangan reformasi Wawasan 2030 untuk meningkatkan kualiti hidup dan mengangkat aspirasi rakyat,” titah Putera Badr lagi.
Majlis berkenaan telah menarik perhatian penggiat media, usahawan, seniman, pegawai kerajaan, golongan budayawan, dan wakil kerajaan daripada seluruh dunia.
Majlis juga telah disajikan dengan persembahan orkestra daripada kumpulan muzik tradisional Saudi serta majlis makan malam atas jemputan Putera Badr serta Pusat Warisan Abdul Aziz.
Antara inisiatif baru Kementerian Kebudayaan ialah memberikan sokomngan kepada seniman, program biasiswa, anugerah seni, pesta budaya, pameran, perpustakaan, minggu fesyen, panggung nasional, arkeb filem nasional, bandar budaya serta skim visa untuk seniman antarabangsa datang mengunjungi Arab Saudi.
Putera Badr juga bertitah, “Hari ini telah mencatatkan satu titik perubahan dalam sejarah negara kita. Ia adalah sesuatu yang amat jarang dilakukan dalam kebangkitan budaya yang ketara. Namun inilah yang berlaku.
Bagi masa sdepan anak-anak, kita akan membangunkan Arab Saudi dengan ruang yang menyemarakkan semangat kreativiti, yakin kepada sejarah silam mereka, dan melangkah gagah ke arah masa depan bagi menghadapi dunia,” titah baginda lagi.
Transformasi budaya Arab Saudi itu telah mendapat sokongan mantap daripada seniman konseptual tersohor Arab Saudi serta Aram Kabbani, salah seorang perunding fesyen serta seni pakaian yang terkenal.