Sejak Presiden Amerika, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lebih 21 rakyat Palestin mati dibunuh oleh regim Zionis menentang pengiktirafan tersebut.
Ia satu hakikat yang tidak dapat diterima kerana Baitul Maqdis telah menjadi milik Palestin sejak ratusan tahun kecuali setelah sebahagian buminya dirampas dengan penubuhan negara Israel pada Mei 1948.
Walau bagaimanapun jika ditinjau dari aspek sejarah Palestin moden ia telah jatuh ke tangan pihak British semenjak tahun 1917 setelah pentadbiran kerajaan Turki Uthmaniyyah telah dikalahkan oleh tentera British.
Dengan itu, ia bermakna, perjuangan Palestin untuk menuntut kembali bumi kelahiran mereka sudah melampaui satu abad atau lebih seratus tahun.
Walau bagaimanapun pada 2003 setelah perjuangan Palestin menuntut kemerdekaan buminya daripada Israel, difitnah dengan dikaitkan dengan puak pengganas, pintu masuk ke Baitulmaqdis, Bab Al-Rahma telah dikunci dan diharamkan untuk dimasuki meskipun untuk tujuan solat Jumaat.

Ratusan menerobos masuk Bab Al-Rahman, Baitul Maqdis
Dengan penuh kecekalan dan jihad walaupun puluhan rakyat Palestin telah mati dibunuh dan dipenjara oleh regim Zionis Israel, pada Jumaat, 22 Febuari 2019 lalu, pintu masuk Bab Al-Rahma dalam kawasan Masjidil Aqsa telah berjaya diterobosi ratusan umat Islam Palestin yang turut disertai umat Islam antarabangsa untuk menunaikan solat Jumaat.
Pintu Bab Al-Rahma itu dipecahkan kuncinya oleh ratusan umat Islam yang diketuai Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Mohammad Hussein, memasuki kawasan berkenaan sebelum solat Jumaat.
Dengan itu juga sekatan dan larangan memasuki Bab Al-Rahma telah berjaya diterobosi setelah disekat selama 16 tahun sejak 2003.
Kejayaan memecah pintu masuk Bab Al-Rahma itu juga telah menjadi satu junktur sejarah setelah solat Jumaat yang pertama dilaksanakan di dalam kawasan itu sejak 16 tahun sekatan dan larangan dikenakan.

Solat Jumaat Pertama sejak 16 tahun di sekat di Bab Al-Rahma
Menurut laporan agensi berita rasmi Palestin, WAFA, penduduk Palestin melaungkan Allahu Akbar dan slogan kesyukuran sambil membawa bendera Palestin meraikan pembukaan semula Bab Al-Rahma.
Walau bagaimanapun tindakan itu telah mencetuskan ketegangan apabila tentera Israel tetap terus menyerang penduduk Islam Palestin yang beribadat dalam Masjidil Al-Aqsa, menyebabkan ramai cedera dan ditahan.
Sejak Jumaat itu juga polis Israel telah menahan kira-kira 60 penduduk Palestin yang dikaitkan dengan pembukaan pintu Bab Al-Rahma itu.
*****