KEPRIHATINAN ARAB SAUDI MEMBANTU PEMBANGUNAN DAN EKONOMI IRAQ

Kerajaan Arab Saudi lagi sekali telah menunjukkan keprihatinannya terhadap negara saudara seagama, apabila menghantar delegasi dalam membantu pembangunan kerajaan baharu Iraq, sejak jatuhnya kepimpinan Saddam Hussein pada 2003.

Semasa kemelut Iraq-Kuwait yang kemudiannya melibatkan ‘masuk-campur’ Amerika Syarikat, Iraq juga telah mencetuskan permusuhan dengan Arab Saudi apabila Riyadh diserang oleh peluru berpandu Iraq semasa perang Iraq.

Beberapa hari lalu, kerajaan Arab Saudi melalui ketua delegasi pelaburan luar negara ke Baghdad, Menteri Perdagangan dan Pelaburan, Majid Al-Qassabi telah menjalin hubungan perdagangan khususnya untuk membantu pembangunan Iraq.

Perkara utama dalam rombongan delegasi pelaburan itu adalah semangat persaudaraan Islam bagi membantu Iraq yang pada peperangan Iraq 2003 telah hancur dan musnah.

Di samping itu Arab Saudi juga amat kecewa sebelumnya terhadap keadaan politik dalaman Iraq yang dipengaruhi oleh kerajaan Syiah Iran serta memberi kesan langsung terhadap rakyat Iraq yang berpegang kepada fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah (masyarakat Sunni).

Masyarakat Sunni Iraq telah ditindas, dipecah-belahkan, diketepikan serta ditekan dengan keganasan oleh pihak militan yang ditaja oleh kerajaan Syiah Iran.

Walau bagaimanapun atas tanggungjawab keselamatan, Arab Saudi telah mengambil langkah dan usaha yang wajar untuk mempertahankan identiti Iraq sebagai sebahagian daripada negara Arab serta kearabannya dari aspek budaya dan agama.

Isu tersebut tercetus apabila Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehghan dengan sombongnya mengisytiharkan bahawa Iraq akan menjadi sebahagian daripada negara Parsi yang condong keada Iran dan tidak akan lagi kembali kepada dunia Arab.

Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehghan telah mengisytiharkan bahawa Iraq adalah sebahagian daripada negara Parsi

Dengan tujuan yang sama, sejak perisytiharan itu, Arab Saudi telah bersikap lebih proaktif dalam dialog-dialog terbuka dengan pemimpin agama dan politik Iraq demi untuk mencari persefahaman supaya Iraq tidak dipulau oleh tetangga Arab di sekelilingnya. Arab Saudi juga cuba mencairkan pengaruh Iran di Iraq.

Pemimpin Arab Saudi amat sedar dan berwaspada terhadap keselamatan, hubungan politik, masalah sosial dan ekonomi yang telah dihadapi Iraq sejak pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq selama 16 tahun selepas tamatnya perang Iraq.

Sebahagian daripada usaha Arab Saudi adalah memperbaiki kebuntuan hubungan diplomatik antara Riyadh dan Baghdad melalui bantuan kewangan dan bantuan strategik kepada Iraq. Usaha sedemikian walau bagaimanapun seringkali disekat oleh Tehran.

Namun sejak lawatan Perdana Menteri Iraq, Adil Abdul Mahdi ke Riyadh serta konferensi Baghdad yang mempertemukan delegasi Arab Saudi dan Iran, keadaan geopolitik bagi Iraq-Arab Saudi bertambah kendur.

Lawatan delegasi kepimpinan tertinggi Arab Saudi serta pemimpin penting badan ekonomi dan perdagangan Saudi telah diterjemahkan sebagai satu petanda positif serta usaha yang amat penting dalam hubungan dua hala Saudi-Iraq.

Mesyuarat Majlis Koordinasi Saudi-Iraq telah mengisytiharkan pembukaan kedutaan Saudi yang baru di Baghdad, perisytiharan kesediaan Saudi untuk membantu Iraq dalam pembangunan infrastruktur negara serta perisytiharan merombak undang-undang dan peraturan dalam hal menyediakan persekitaran pelaburan yang menarik kepada Saudi.

Tindakan positif Iraq juga adalah satu sokongan keyakinan kepada delegasi Raja Salman.

Kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan USD1 bilion dengan USD500 juta untuk membantu eksport Iraq and tambahan USD267 juta dalam bentuk pinjaman untuk membantu pembangunan projek dalam sektor tenaga, bahan api dan petrokimia bagi ‘tenaga diperbaharui’. Riyadh juga telah memberi jaminan untuk pembinaan sebuah kompleks sukan yang lengkap melalui pinjaman kewangan pada masa hadapan.

Sokongan Arab Saudi bertindan-tindih dengan dasar Trump dan pentadbiran Washington dengan sekatan ekonomi ke atas Iraq yang masih berkuat kuasa.

Bertentangan dengan dasar Amerika itu, Tehran pula telah menuntut kerjasama politik dengan Baghdad sebagai balasan kepada bantuan Iran mengenyahkan tentera Amerika daripada Iraq.

Sebaliknya Arab Saudi tidak mengenakan apa-apa tuntutan dalam usaha bantuan ekonomi serta pelaburannya terhadap Iraq.

Bagi sesetengah penganalisis geopolitik, Iran lebih condong kepada meracuni perjanjiannya dengan Iraq yang boleh mengakibatkan kemusnahan, kehancuran dan pecah belah.

Sedangkan Arab Saudi pula lebih cenderung menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan kepada Iraq dan rakyatnya.

Ramai yang mungkin berfikir bahawa jumlah pelaburan yang besar Arab Saudi di Iraq adalah sesuatu yang amat berisiko kerana Iran amat mendesak untuk menjadikan kepimpinan Iraq sebagai boneka mereka.

**Tamat**

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s