
Pada asalnya kumpulan pengganas militan Daesh bergerak atas nama ISIS atau ‘Islamic State of Iraq and Syria.’
Kemudiannya terminologi ISIS dipendekkan sahaja menjadi IS atau Islamic State.
ISIS ditubuhkan pada tahun-tahun awal Perang Iraq atau lebih popular sebagai Perang Teluk.
Kumpulan pejuang ISIS itu terdiri daripada pelbagai subkumpulan pejuang yang bersembunyi di sebalik nama Islam, iaitu Majlis Syura Mujahidin, Al-Qaeda, Haysh Al-Fatiheen, Jund al-Sahaba, Katbiyan Ansar Al-Tawhid wal Sunnah, Tentera Mazhab Mansura dan lain-lain.
Matlamat Negara Islam Iraq dan Syam adalah untuk menubuhkan sebuah kepimpinan khalifah dalam kawasan majoriti berfahaman Sunni di Iraq dan kemudiannya termasuklah Syria, lalu ke seluruh dunia.
Pada asalnya mereka berjuang untuk memerdekakan negara Iraq, Syria dan Lebanon.
Kumpulan ini ditubuhkan pada awal Pencerobohan AS di Iraq 2003 dan bersetia dengan organisasi Al-Qaeda pada 2004.
Kemudiannya, untuk mencari tapak kekuatan, kumulan ini berusaha mendapatkan sokongan dan bergabung dengan pelbagai kumpulan pemberontak.
Dengan itulah mereka pada asalnya dilihat sebagai rakan seperjuangan Majlis Syura Mujahideen di Afghanistan, Al-Qaeda di Iraq, Jaysh al-Fatiheen, Jund al-Sahaba, Katbiyan Ansar Al-Tawhid wal Sunnah, Jeish al-Taiifa al-Mansoura dan lain-lain.
Puak-puak ini menganut fahaman Sunni. Pada asalnya matlamat penubuhannya adalah baik kerana mahu mewujudkan satu negara khalifah di kawasan majoriti Sunni Iraq, yang kemudiannya akan dikembangkan ke Syria.
Kumpulan ini begitu ketara di wilayah-wilayah Iraq. Mereka menjadikan kerajaan dan tentera Iraq sebagai sasaran kerana tentera Iraq telah dipengaruhi oleh fahaman Syiah Iran dengan kekuatan yang dibantu oleh Rusia.
Pada tahun 2013, pemimpin tertinggi Al-Qaeda mahu kumpulan pejuang ISIS itu dibubarkan sahaja mungkin kerana pendirian mereka yang bersikap melampau dalam hala tuju perjuangan.
Pada 2013, Ayman Al-Zawahiri, pemimpin tertinggi Al-Qaeda telah membuat keputusan dan mengisytiharkan pembubaran puak ISIS Syria.
Berikutan itu pada bulan Februari 2014 selepas krisis kuasa, Al-Qaeda tidak lagi mahu bersekongkol dengan ISIS.
Malangnya pemimpin ISIS, Abu Bakar Al-Baghdadi menentang perisytiharan pembubaran ISIS dengan alasan bahawa gerakan itu berpegang kepada falsafah perjuangan yang selari dengan dasar perundang-undangan Islam dan bertekad untuk terus beroperasi di Syria.
Pada Jun 2014, berikutan perbalahan di Iraq, ISIS dilaporkan telah merampas kuasa kebanyakan bangunan di Mosul, bandar kedua paling ramai penduduk di Iraq, wilayah Nineveh, dan bandar Fallujah.
ISIS turut mengambil alih kawalan di Tikrit, wilayah Salah Din, dengan matlamat menguasai ibu kota Iraq, Baghdad.
Kemudian keganasan ISIS mula mengubah haluan, mereka bukan sahaja berjuang atas bumi Iraq dan Syria, tetapi mula mencari dan mewujudkan pemusuhan dengan negara Barat yang mereka tanggapi sebagai musuh Islam.
Setelah berlaku beberapa siri keganasan ISIS, dan yang paling terkesan ialah serangan maut di kota Paris, Presiden Perancis, Francois Hollande, telah menggunakan istilah ‘Daesh’ untuk merujuk kumpulan pengganas ISIS.
Istilah Daesh adalah merupakan singkatan akronim mengikut huruf dalam frasa Arab, al-Dawla al-Islamiya al-Iraq al-Sham (Negara Islam Iraq dan Syria), yang dari aspek etimologi membawa maksud yang sama dengan ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) .
Walau bagaimanapun istilah Daesh dari aspek semantik (atau kajian makna) mengandung nilai buruk atau ejekan yang mirip kepada istilah ‘Daes’ dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘meremukkan sesuatu di bawah kaki’. Ia juga mengandung bunyi ‘Dahes’ yang bermaksud ‘orang yang mencetus perselisihan’.
Secara tidak langsungnya Daesh menjadi ejekan kepada kumpulan ISIS atau IS kerana makna negatif namun selaras dengan sifat gerakan kumpulan militan itu yang ganas dan terkeluar serta bertentangan daripada prinsip Islam yang sukakan perdamaian bukannya permusuhan dan pembunuhan.
Dengan itu istilah ‘Daesh’ terus menjadi popular, mungkin juga dengan sokongan propaganda siber yang mendukung matlamat untuk menggambarkan keburukan kumpulan pengganas militan tersebut.
Selain daripada Presiden Perancis, Francois Hollande, istilah Daesh pernah digunakan oleh bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.
Sementara seorang penganalisis keamanan, Evan Kohlmann pernah menyatakan bahawa “Istilah Daesh bersifat menghina dan ia bukanlah sesuatu yang baik untuk melabelkan seseorang dan sekaligus membangkitkan kemarahan ahli kumpulan itu sendiri.”
Atas alasan itulah portal berita NBC, pernah melaporkan bahawa pejuang-pejuang ISIS atau IS amat marah dan mengugut akan memotong lidah sesiapa sahaja yang mengguna pakai istilah Daesh sebagai gelaran kepada mereka kerana ia mempersenda dan merendah-rendahkan aspirasi dan imej mereka.
Sejak anggota Daesh disabitkan dengan tindakan penindasan, pembunuhan dan kezaliman yang wewenang media sedunia mula meletakkan istilah ‘pengganas’, ‘pelampau’ atau ‘militan’ di hadapan kata IS.

Apatah lagi apabila pegangan, perjuangan dan tindakan mereka tidak mewakili falsafah dan pegangan Islam sebenar yang menyeru kepada perdamaian dan keselamatan, maka media dunia lebih gemar melabelkan mereka sebagai Daesh.
Dalam laporan berita di beberapa negara Barat mahupun negara Teluk, pemberita sudah tidak lagi merujuk kumpulan itu sebagai militan ‘Islamic State’ atau ‘Negara Islam’ sebaliknya sekadar menyebut ‘militan Daesh’ kerana tidak mahu mengaitkan nama Islam bagi merujuk kepada kumpulan tersebut.
Kini Daesh adalah rujukan kepada kumpulan militan pengganas setelah lupusnya kumpulan Al-Qaeda.
Malang sekali Daesh menjadi popular dalam kalangan umat Islam yang jahil kerana propaganda perjuangan Daesh yang dikaitkan dengan fahaman bahawa pada akhir zaman kelak akan muncul kumpulan tentera hitam untuk menentang Yahudi.
Meskipun Daesh sudah kalah di kubu kuat mereka, tetapi siri-siri serangan dan propaganda Daesh terus kekal dan berkembang kerana mereka berjaya mempermainkan isu-isu agama untuk mencapai agenda tersembunyi mereka.
Perkara utama yang seharusnya kita fahami ialah Daesh mempunyai sistem pemerintahan sendiri. Pada mulanya Daesh berjaya menjadikan Syria dan Iraq sebagai negara mereka sendiri atau yang disebut juga sebagai ‘Daulah Islamiyyah’.
Semua penduduk yang tinggal di Syria dan Iraq yang ditawan oleh Daesh dianggap sebagai rakyat mereka. Penduduk yang tinggal dalam negara itu dikehendaki mematuhi undang-undang yang ditetapkan, termasuklah pemakaian burqa atau cadur hitam bagi wanita, menyimpan janggut dan berpakaian pejuang gerila bagi lelaki, sekatan terhadap akses telefon dan televisyen, tidak ada makanan segera barat, catuan air dan lain-lain lagi.
Daesh mempunyai ‘Khalifah’ iaitu Abu Bakar al-Baghdadi dan 12 menteri kabinet yang dilantik secara ‘mesyuarah’ atau persetujuan bersama.
Sistem pemerintahan Daesh juga mempunyai bala tentera yang diberi tatatingkat pangkat dan dibayar gaji, manakala penduduk pula perlu membayar cukai perlindungan serta membeli keperluan daripada pihak kerajaan.
Daesh juga mempunyai kekuatan merekrut ahli-ahli baru melalui propaganda yang mempergunakan Islam sebagai tarikan dan kebanyakannya disebarkan melalui media sosial.
Ribuan mangsa terutamanya daripada negara-negara Islam seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan juga Malaysia telah diindoktrinasikan minda (dibasuh-minda) mereka dengan propaganda ‘jihad kerana Allah’ untuk menjadi tentera Daesh. Lokasi destinasi mereka adalah Iraq dan Syria.
Agak mengejutkan apabila tidak kurang 20,000 ‘mualaf’ yang masih jahil tentang ajaran Islam telah berjaya direkrut oleh Daesh hingga mereka sanggup menggadaikan nyawa dengan menjadi pengebom berani mati di mana-mana sahaja yang menjadi sasaran Daesh serta taksub dengan arahan ketua mereka.
Amat menggusarkan juga kerana media sosial telah membolehkan Daesh akses kepada sesiapa sahaja di di alam maya tanpa apa-apa sekatan seperti facebook, twitter, istagram, telegram dan lain-lain lagi.
Di Malaysia, pada 2017, pihak keselamatan telah menahan seramai 346 suspek yang dikesan menjalankan kegiatan pro-Daesh, seramai 95 orang daripada mereka adalah rakyat Malaysia.

Sumber polis melaporkan bahawa kejayaan menahan individu terbabit adalah dengan kerjasama pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan agensi perisikan antarabangsa lain.
Risikan dan pertukaran maklumat bukan saja untuk mengesan elemen keganasan dalam negara, malah rakyat negara ini yang berjihad ke negara lain untuk menyertai kumpulan militan di Iraq dan Syria juga dapat dipantau. Sejumlah 34 orang warganegara Malaysia telah maut di negara terbabit.
Lebih mengejutkan sebelumnya, pada 2016, terdapat ugutan melalui video daripada militan Daesh yang memaparkan seorang lelaki Malaysia memberi amaran akan serang orang awam termasuk menyembelih anggota polis mula didedahkan kepada umum.
Rakaman itu turut mendapat perhatian Bahagian Counter Terorisme Cawangan Khas Bukit Aman yang berjaya mengenal pasti identiti lelaki tersebut sebagai Mohd. Rafi Udin dari Negeri Sembilan.
Dia muncul bersama-sama dua rakannya dengan tiga tebusan dipercayai anggota perisik tempatan yang ditawan; turut menggesa penyokong Daesh di Malaysia menggunakan apa sahaja cara untuk membunuh setiap orang kafir.
“Bunuh mereka di mana sahaja yang anda jumpa… Jika anda ada kereta, langgarlah mereka… Gunakan senjata dan pisau untuk tikam terus dada mereka,” kata Mohd. Rafi menaikkan semangat menerusi visual video berkenaan.
Dia juga mengeluarkan amaran keras kepada semua anggota polis di seluruh negara bahawa mereka akan diburu dan disembelih hidup-hidup oleh ramai penyokong Daesh yang sudah pun berada di dalam Malaysia.

Pada Januari 2019, kumpulan militan Daesh telah mengaku bertanggungjawab atas pengeboman serentak yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang di gereja Katolik Filipina, sebagaimana dilaporkan agensi berita, Amaq.

Foto menunjukkan kerosakan dalam gereja Katolik di Jolo, wilayah Sulu, Filipina susulan serangan bom. Foto daripada AFP
Serangan berlaku di kepulauan majoriti Islam di selatan Filipina dan telah mengorbankan 81 orang dan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan.
Pada April lepas, di Arab Saudi pula empat lelaki yang didakwa anggota militan Daesh maut apabila pihak berkuasa menggagalkan serangan ke atas sebuah bangunan keselamatan di wilayah tengah di Riyadh, kata pihak berkuasa.

Keempat-empat lelaki terbabit telah melakukan serangan ke atas stesen Mabaheth (perisikan tempatan) di Zulfi, di barat laut ibu kota Saudi.
Pasukan Daesh dilaporkan telah mendapat sokongan Israel terutama dari sudut latihan dan persenjataan. Sebab itulah kita dapat lihat dengan jelas Daesh tidak mempunyai perancangan untuk menyerang Israel, akan tetapi berterus-terusan menyerang mana-mana negara Islam yang menentang doktrin mereka.
Propaganda Daesh disebarkan secara besar-besaran. Video penyembelihan wartawan James Foley dan pembakaran hidup-hidup juruterbang Jordan yang ditawan adalah merupakan titik penting penyebaran propaganda Daesh.

Kekejaman yang ditunjukkan dalam media sosial sudah menjadi perkara lumrah dan asas dalam perjuangan Daesh. Keganasan bukan menakutkan pengikut Daesh, sebaliknya menjadikan mereka lebih bersemangat untuk menghantar mesej kepada musuh-musuh Islam.
Malangnya, Daesh berjaya melahirkan satu persepsi negatif tentang Islam hingga dibenci dan didendami serta mewujudkan ‘Islamophobia’ yang serius di Barat.
Malah Daesh juga berjaya menghasilkan buletin propaganda mereka seperti ‘Dabiq’ dan ‘Haqiqat’ yang secara terang dan jelas menyokong perlakuan kejam dan tak berperikemanusiaan mereka.
****