PENGGANAS NEGARA TELUK YANG MENJADI MUSUH DUNIA

Pengganas Daesh

Sejak meletusnya peperangan saudara di Iraq akibat daripada Perang Teluk, banyaklah kumpulan militan cuba mengambil kesempatan atas kerajaan yang telah lumpuh dan parah.

Walau bagaimanapun terdapat juga kumpulan militan lain yang ditubuhkan kerana memberontak untuk mencapai matlamat mereka yang tidak kesampaian.

Untuk meneruskan survival mereka dari aspek kewangan, maka berlakulah keganasan seperti merompak, melanun, menculik, pengedaran dadah, penipuan, membunuh dan mengugut dengan tujuan mendapatkan dana.

Pergelutan kuasa juga berlaku di negara-negara Teluk setelah gerakan Arab Spring yang kononnya menentang pemimpin diktator, namun sama seperti di Iraq, banyaklah pemimpin serpihan yang mengambil kesempatan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan militan.

Keadaan di Iraq dan Syria juga telah melarat kepada pergolakan dalaman di Yaman.

Kemusnahan di Yaman akibat perang saudara

Kerajaan Syiah Iran yang angkuh dengan tamadun Parsinya, namun menyeleweng akidah daripada ajaran Islam yang tulen akibat hasutan dan dakyah pihak yang sengaja mahu menyesatkan umat Islam, juga menjadi faktor pergolakan apabila cuba masuk campur dalam kancah perang saudara di negara yang menghadapi perang saudara.

Iraq dan Syria bukanlah negara yang condong kepada tamadun Parsi, sebaliknya negara itu berada pada bumi Arab dan begitulah juga dengan Yaman.

Namun kerajaan Republik Syiah Iran cuba mengheret pengaruh mereka kepada negara-negara terbabit, agar fahaman Syiah itu dapat diserapkan dan pengaruh geopolitik Republik Iran yang anti-Amerika dan Israel dapat dilebarkan ke bumi Arab.

Kerajaan Arab Saudi yang berpegang kepada fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah tidak boleh berdiam diri, kerana menentang fahaman sesat Syiah serta menentang pihak yang menolak Al-Quran serta para sahabat yang dikasihi Rasulullah SAW, adalah satu jihad dan tanggungjawab.

Apabila kerajaan Arab Saudi cuba membela pihak yang berpegang kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah atau lebih dikenali sebagai Sunni, banyaklah dakyah pihak Syiah Iran yang memesongkan pandangan dunia bahawa Arab Saudi menyokong Amerika dan sekaligus juga berpihak kepada Zionis.

Inilah modal pergelutan geopolitik di negara-negara Teluk terutamanya di Iraq dan Syria, yang telah diresapi oleh tentera Syiah Iran. Walaupun pada hakikatnya pengganas seperti Daesh adalah tali barut zionis yang bersekongkol untuk memusnahkan negara Islam.

Keadaan menjadi lebih sulit dan huru-hara apabila, Iran mengheret bersama rakan Rusianya untuk mmpertahankan pengaruhnya serta kekuatan ketenteraan.

Rusia dengan lapang dada amat cenderung untuk bersama dengan kerajaan Syiah Iran kerena mereka berdua sememangnya adalah musuh Amerika yang telah membawa ‘mala petaka’ kepada Iraq.

Keadaan dan rasional yang sama dipergunakan oleh kerajaan Syiah Iran, apabila Syria yang bersempadan dengan Israel dilihat oleh Amerika Syarikat, amat berbahaya kepada ‘buah hatinya’ itu.

Anggota pengganas Daesh di Syria

Apa-apa yang berlaku terhadap Syria yang berada dalam genggaman Iran dan Rusia, pastinya merupakan satu ancaman terhadap Israel.

Arab Saudi serba salah dalam usaha membela rakyat yang berpegang kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah, apatah lagi untuk mempertahankan akidah Islam yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang tulen.

Keadaan menjadi lebih parah apabila tentera Iran dan militan dalaman baik di Iraq mahupun di Syria telah menggunakan kanak-kanak dan wanita sebagai perisai manusia.

Untuk menyelamatkan pihak rakyat yang berpegang kepada ajaran tulen Islam atau Ahlul Sunah Wal Jamaah di Syria mahupun Iraq , maka berlakulah serangan yang mengakibatkan kematian ke atas kaum wanita dan kanak-kanak kerana mereka telah dijadikan perisai manusia.

Dengan itu juga tentera yang menentang pihak Syiah dan Rusia telah dituduh menyerang orang awam sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah ‘orang awam’ telah dijadikan perisai manusia demi untuk mengangkat kepalsuan perjuangan tentera Syiah Iran dan Rusia.

Dengan pergolakan yang sedemikian, tumbuhlah pasukan militan tertentu yang mengambil kesempatan atas kecelaruan kerajaan sementara yang diwujudkan dalam peperangan saudara baik di Iraq, Syria, mahupun pergolakan yang berlaku di Yaman.

Akibatnya dunia kini melihat tumbuhnya puak militan yang kemudiannya disebabkan hilangnya sumber kewangan, maka mereka bertukar arah menjadi pengganas global, dengan menggunakan Islam sebagai sandaran untuk menarik golongan yang mudah terpengaruh dengan falsafah ‘berjihad demi Islam’.

Dengan itulah sejak tahun 2000 pembunuhan akibat keganasan yang kononnya tertegak atas nama Islam meningkat berlipat kali ganda, terutamanya sejak pergolakan perang saudara di Syria.

Masyarakat Sunni menjadi mangsa di Syria

Sudah puas mereka mengganas di bumi sendiri, kini mereka menjadi kaldai kepada pihak yang mahu melihat Islam sebagai agama yang ‘ganas’, mula mengganas di luar negara.

Dengan itu jugalah bersemaraknya fahaman ‘islamofobia’, malah ia digunakan untuk mewajarkan konspirasi Amerika bagi memusnahkan negara Islam tertentu, sebagaimana berlaku di Iraq.

Antara kumpulan pengganas global yang kini tercatat dalam senarai keganasan dunia adalah seperti berikut.

1. Negara Islam di Syria dan Iraq (ISIS-Daesh)

ISIS atau Islamic State of Iraq and Syria, ditubuhkan pada 2006 oleh Abu Bakr Al-Baghdadi pada tahun 2013, untuk menguasai wilayah Iraq dan Syria’.

ISIS dikenal juga sebagai Negara Islam (IS), atau Daesh. ISIS telah bertindak melakukan kekejaman terhadap rakyat yang tidak mahu tunduk kepada kuasa mereka dan tuntutan cukai yang mereka kenakan.

Tentera Iraq menentang pengganas Daesh di Mosul

Mereka cuba mewajarkan keganasan atas nama Islam, sedangkan Islam menuntut perdamaian dan kesejahteraan dan bukannya keganasan. Sebelumnya Daesh berada dalam kumpulan Al-Qaeda, namun setelah berlaku pergolakan kepimpinan, Al-Qaeda tidak lagi memperakui Daesh sebagai sekutu mereka.

ISIS telah melebarkan kuasa mereka di Jordan, Mesir dan Libya. Mereka juga telah menceroboh ke Tunisia dan menyerang Hotel Marhaba di Tunisia. ISIS pernah melintasi Israel dan menyerang Mesir. ISIS juga pernah menceroboh Selatan Iraq untuk menyerang Masjid Imam Sadiq di Kuwait.
  
Anehnya negara Zionis Israel tidak pernah diganggu-gugat walaupun ISIS heboh dengan retorika menghancurkan Zionis dan kafir. Hal inilah yang membangkitkan tanggapan bahawa Daesh adalah kumpulan militan yang disokong Israel malah telah mendapat latihan dan bantuan ketenteraan daripada Israel.

2. Al-Qaeda

Al-Qaeda ditubuhkan pada tahun 1988 oleh Osama bin Laden, yang telah mati dibunuh pada 2011 dalam sebuah operasi oleh pasukan Tentera Laut Amerika. Kumpulan ini diburu setelah berlakunya tragedi 11 September 2001.

Meskipun Amerika mendakwa bahawa Al-Qaeda yang menerajui serangan 11 September, namun banyak kesangsian timbul daripada teori konspirasi yang dipersepsikan sebagai dakyah Amerika semata-mata.

Sejak kematian Osama, kumpulan Al-Qaeda ini telah diambil alih oleh Ayman Al-Zawahiri dari Mesir.

Al-Qaeda sebenarnya telah kehilangan taring, namun daripada tubuh asalnya, Al-Qaeda telah menghasilkan banyak serpihan kumpulan lain atau bersekongkol dengannya dan diterjemahkan sebagai kumpulan pengganas.

ISIS juga dilihat sebagai pertubuhan yang bersekutu dengan Al-Qaeda, namun telah disingkirkan kerana ISIS yang dikaitkan dengan Zionis Israel adalah kumpulan yang amat ganas dan bertindak di luar perikemanusiaan.

Cabang Al-Qaeda di Yaman dan di Arab Saudi dipandang sebagai salah satu cabang yang paling berbahaya.

Kedua-duanya dikatakan bersekongkol dalam serangan Charlie Hebdo di Paris. Di samping melakukan serangan di Barat, kumpulan ini juga telah berhasil menguasai beberapa wilayah di Yaman, dan turut melatih pejuang untuk memerangi kumpulan ekstrimis di Syria dan Iraq.

3. Taliban

Taliban Afghanistan ditubuhkan pada tahun 1994 di bawah kepemimpinan Mullah Mohammed Omar. Tujuan utama kumpulan ini adalah untuk membentuk negara Islam di Afghanistan dan menentang pengaruh luar seperti Amerika dan Rusia.

Kumpulan ini memerintah Afghanistan pada 1996-2001 dan melaksanakan undang-undang yang ketat.

Mereka telah dikalahkan oleh pasukan tentera  Amerika selepas serangan 11 September 2001. Apabila Amerika berundur keluar dari Afghanistan, kumpulan Taliban wujud dan aktif semula.

Taliban Pakistan pula, yang juga disebut Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), lebih menumpukan operasi mereka di Pakistan. Kumpulan ini pernah menyerang Army Public School di utara-barat kota Peshawar Pakistan dan membunuh 148 orang – termasuk 132 anak-anak dalam serangan yang amat ganas di negara itu .

Kumpulan ini juga berada di sebalik pembunuhan pemenang Nobel Perdamaian Malala Yousafzai. Mereka beroperasi di kawasan semi-otonomi di utara-barat Pakistan di sempadan Afghanistan.

4. Barisan Al-Nusra

Barisan Al-Nusra Front atau Barisan Pembela Rakyat Syria dikenali juga sebagai Al-Qaeda di Syria.

Pengganas Barisan Al-Nusra yang ditewaskan oleh tentera Syria

Buat julung kalinya mereka telah mengisytiharkan kewujudan mereka pada tahun 2012, dengan bertujuan untuk menggantikan regim Presiden Bashar Al-Assad dengan negara Islam.

Kumpulan ini aktif terlibat dalam mendukung pemberontak Syria, dan menyerang pihak yang menyokong pemerintah Syria.

Kumpulan Al-Nusra ini telah dilabelkan sebagai kumpulan pengganas oleh negara-negara Barat, Arab Saudi, Turki dan Emiriah Arab Bersatu.

****

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s