
Arab Saudi sudah merancang dan berada pada era pelaksanaan Wawasan 2030 yang antara lain, sasaran utamanya ialah tidak lagi meletakkan penggantungan ekonominya kepada minyak.

Dengan itulah perancangan ‘Era Pasca Minyak’ dengan erti kata penggantungan ekonominya kepada minyak akan perlahan-lahan berganjak kepada ekonomi yang berteraskan inovasi dan kreativiti sains dan teknologi.

Malahan cogan kata “Inovasi dan Kreativiti’ telah menjadi laungan di negara-negara Teluk, sebagai suatu gerakan transformasi ekonomi yang tidak lagi bergantung kepada minyak, sebaliknya industri yang berteraskan inovasi dan kreativiti.
Pada 21 April lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah mengisytiharkan ‘Hari Kreativiti dan Inovasi’ yang diangkat sebelumnya pada tahun 2017 dan diperakui sebagai “kekuatan sejati negara-negara maju dalam abad ke-21”.
Arab Saudi juga tidak ketinggalan apabila telah menggerakkan suntikan dan menanam kualiti inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyatnya yang berbakat untuk memacu ekonomi pada ‘era pasca minyak’ nanti.

Sesuatu yang amat membanggakan apabila Dr Hayat Sindi menjadi saintis wanita pertama Arab Saudi yang dilantik sebagai ‘Duta Kebajikan UNESCO’ bagi bidang sains.
Dr Sindi menegaskan, “Menyemai benih untuk meningkatkan ekonomi adalah hala tuju terbaik untuk mengelakkan kemiskinan, baik di Arab Saudi mahupun di seluruh dunia.”
“Sains, teknologi dan inovasi menawarkan banyak penyelesaian namun tidak pernah ada keperluan yang lebih besar untuk mengatasi cabaran pembangunan modern. Apabila kita mendekati 2030, ketika kerajaan dunia akan dinilai atas kemajuan 17 Sasaran Pembangunan Mampan (SDGs), sains, teknologi dan inovasi menjadi kunci kepada transformasi kita ketika menghadapi pembangunan.”
Pada 2016, Dr Sindi juga pernah dilantik oleh Ketua Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon sebagai salah seorang daripada 10-Ahli Kumpulan yang membantu pelaksanaan SDGs. Dr Sindi yakin inovasi dan kreativiti akan menjadi teras utama untuk mencapai sasaran serta memacu pembangunan ekonomi.
“Sekiranya kamu memberikan peralatan kepada rakyat untuk membina masa depan yang mampan, kamu akan turut membina kebanggaan mereka dan membolehkan mereka untuk memenuhi keupayaan mereka,” jelas Sindi.
“Sains, teknologi dan inovasi menawarkan penyelesain baru yang hebat, namun belum pernah ada keperluan yang lebih besar untuk jawapan kreatif yang hakiki kepada cabaran pembangunan dunia,” jelas beliau lagi.

Sebagai ketua penasihat saintifik di Bank Pembangunan Islam yang berpusat di Jeddah, Dr Hayat Sindi percaya bahawa amat penting untuk melibatkan golongan muda dalam pembangunan untuk memacu perubahan yang bermakna.
Dr Sindi juga menegaskan bahawa antara perkara utama dalam semangat hidupnya adalah merapatkan jurang sedia ada dalam hal peluang pendidikan untuk golongan muda.
Beliau juga amat bersemangat untuk menggalakkan kemahiran sains dalam kalangan kaum wanita, khususnya di negara-negara membangun.
Golongan muda hendaklah diberikan kemudahan bantuan, latihan dan bimbingan supaya mereka memperoleh inspirasi sebagai penggerak inovasi bagi generasi dunia berikutnya.

Dr Sindi yakin warisan Islam dan tradisinya memberikan kepada golongan muda umatnya harga diri dan menyeru mereka supaya menjadi ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan.
Kata Dr Sindi, “Pendidikan adalah kunci untuk menyemarakkan kemampuan generasi akan datang, dan kerana itu ia menjadi amat penting untuk memberikan bantuan dana untuk pendidikan dan latihan kemahiran yang membolehkan ia menerapi pasaran buruh serta memperbaiki kehidupan masa depan rakyat.”
Salah satu peranan bank adalah keterlibatannya untuk meletakkan sains, teknologi dan inovasi sebagai pusat operasinya. Dengan itu, Dr Sindi telah melancarkan Dana Plaform Transformasi dan Penglibatan, sejumlah USD500 juta untuk menyokong para inovasi mencari penyelesaian kepada cabaran pembangunan.
Wawasan 2030 menyokong hasrat kerajaan Arab Saudi untuk turut membantu ahli perniagaan tempatan serta memberikan inspirasi kepada golongan muda yang ingin meneroka peluang perniagaan dan membina kejayaan mereka.
Penanda kepada langkah-langkah inovasi ini di Arab Saudi boleh dilihat daripada penubuhan hub kreativiti seperti HAYY, yang berperanan sebagai pusat menyemai kreativiti dalam kalangan pengusaha dan peniaga.
****