ARAB SAUDI MENENTANG PENCEROBOHAN BUKIT GOLAN

Featured

Arab Saudi menentang keras golongan penceroboh yang mencabuli wilayah Bukit Golan serta mengutuk Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf kawasan tersebut sebagai wilayah Israel.

Wilayah Bukit Golan yang disita daripada kerajaan Arab Syria

Pendirian kerajaan Arab Saudi seiring dengan pemuafakatan negara-negara Arab lain, yang berpegang kepada persetujuan antarabangsa bahawa Bukit Golan bukan wilayah Israel meskipun ia telah disita daripada Syria.

Malangnya pada hujung Mac lalu, Presiden AS, Donald Trump telah menandatangani suatu pengisytiharan di White House yang mengiktiraf penguasaan Israel yang melampaui wilayah sempadan yang dirampas daripada Syria pada 1967.

Tindakan AS itu telah mencabuli persetujuan yang diikat selama hampir 6 dekad sejak 1967.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Trump diterjemahkan sebagai satu konspirasi untuk membantu kempen Pilihan Raya Benjamin Netanyahu sebagai calon Perdana Menteri Israel pada 9 April lalu. Netanyahu juga sedang menghadapi beberapa tuduhan rasuah.

Arab Saudi dan Liga Arab mengutuk pengisytiharan tidak bertanggung jawab Donald Trump untuk mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan.

Pada 2017, Tump juga telah bertindak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mengarahkan pejabat kedutaan AS supaya berpindah dari Tel Aviv.

Keputusan Trump itu telah mendapat tentangan daripada rakyat Palestin. Mereka mahu Timur Baitulmaqdis diangkat menjadi ibu negara Palestin pada masa hadapan.

Arab Saudi menentang keras keputusan AS dan tetap dengan pendiriannya bahawa Bukit Golan adalah wilayah Arab Syria selaras dengan ketetapan antarabangsa berkenaan dengannya.

Bahrain juga amat kesal dengan perisytiharan AS terhadap wilayah Bukit Golan dan Kementerian Luarnya telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang membantah perisytiharan tersebut.

Image result for dONALD tRUMP AND nETANYAHU
Satu konspirasi politik antara Donald Trump dan Benjamin Nentanyahu

Pengisytiharan yang dibuat oleh AS itu adalah secara terang-terangan mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa.

Keputusan AS adalah satu pencabulan ke atas keputusan Majlis Keselamatan PBB bagi perkara 242 (1967) dan 497 (1981) dan akan membawa kepada kesan yang buruk bagi proses perdamaian di Timur Tengah serta keselamatan dan kestabilan di wilayah itu.

Arab Saudi menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan kedaulatan antarabangsa dan piagam PBB.

Ketua Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan AS tersebut tidak mengubah status wilayah berkenaan kerana ia dicerobohi secara yang tidak sah dari sisi peundang-undangan antarabangsa.

Kementerian Luar Syria juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan tersebut adalah satu serangan yang jelas terhadap kedaulatan negaranya.

Trump tidak mempunyai hak dan kuasa undang-undang untuk mewajarkan penaklukan kawasan Bukit Golan itu.

Ketua Pembangkang Syria, Nasr Al-Hariri juga mengutuk keputusan Trump dan mendakwa ia akan membawa lagi keganasan dan ketidakstabilan serta dampak negatif ke tas usaha untuk mewujudkan perdamaian di wilayah itu.

Kementerian Lebanon pula mendakwa bahawa langkah AS itu telah mencabuli semua peruntukan undang-undang antarabangsa dan melemahkan usaha untuk untuk perdamaian dan keamanan.

Lebanon juga berpendirian bahawa, Bukit Golan adalah tanah milik Arab Syria, tiada sebarang keputusan boleh mengubahnya dan tiada negara boleh mengubah sejarah dengan memindahkan hak milik tanah daripada sesebuah negara.

Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu juga mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menyatakan kekesalan mereka atas pengumuman yang dibuat oleh AS ke atas Bukit Golan.

Presiden Iran, Hassan Rouhani turut memprotes keputusan Presiden AS Donald Trump yang mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel dan menyokong bahawa langkah itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Rouhani menegaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh menerima tindakan seseorang di AS yang wewenang mengisytihar tanah sesebuah negara sebagai milik negara lain. Ia bertentangan dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Tindakan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini pada abad ini.

Seluruh dunia Islam dan bukan sahaja negara-negara Arab turut mengutuk tindakan Amerika Syarikat tersebut yang disifatkan sebagai “penjajahan alaf baru”.

Donald Trump selama ini memang popular dengan tindakannya yang menyongsang arus dalam hal konvensyen dan piagam antarabangsa.

Nampak sangat bahawa Trump adalah kaldai Israel.

****

ARAB SAUDI LANCARKAN TRANSFORMASI BUDAYA

Featured

Menteri Kebudayaan Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan telah mengumumkan inisiatif baru yang direka bentuk untuk mentransformasikan sektor kebudayaan sebagai sebahagian penting dalam kehidupan seharian rakyat dalam satu majlis di Riyadh pada 27 Mac lalu.

Keratan sumber berita, dipetik daripada Arab News

Sebelum itu pada majlis yang sama, Kementerian Kebudayaan Saudi telah membentangkan hala tuju kebudayaan negara bertempat di Muzium Daerah di Riyadh.

Putera Badr bertitah, “Kementerian Kebudayaan Arab Saudi berhasrat untuk mereka bentuk suatu persekitaran yang menyokong bakat negara dalam semua bidang dan sektor serta mempertahankan kekayaan dan budaya negara.

“Negara berasa bangga kepada penggerak budaya serta mereka yang berbakat kerana dengan usaha mereka telah membawa pencapaian tinggi yang belum pernah diperolehi sebelum ini serta anugerah penting.”

Terdapat 27 inisiatif yang dibentangkan yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan. Antaranya ialah:

  1. Arkeb Filem Nasional
  2. Latihan seni dan budaya
  3. Program budaya kanak-kanak
  4. Festival budaya
  5. Dokumentasi tradisi lisan dan warisan yang pupus
  6. Pameran seni kontemporari
  7. Pembangunan perpustakaan awam
  8. Minggu fesyen
  9. Festival masakan nasional
  10. Seni pada pentas masyarakat
  11. Skim visa seniman
  12. Bandar budaya Saudi
  13. Anugerah budaya untuk seni dan sastera
  14. Rumah budaya
  15. Panggung kebangsaan
  16. Biasiswa budaya
  17. Pesta filem Laut Merah
  18. Pusat Bahasa Arab Raja Salman

“Kementerian Kebudayaan Arab Saudi telah berusaha untuk menyebarkan budaya Arab Saudi yang kaya dengan cara yang terbaik berdasarkan matlamat rancangan reformasi Wawasan 2030 untuk meningkatkan kualiti hidup dan mengangkat aspirasi rakyat,” titah Putera Badr lagi.

Majlis berkenaan telah menarik perhatian penggiat media, usahawan, seniman, pegawai kerajaan, golongan budayawan, dan wakil kerajaan daripada seluruh dunia.

Majlis juga telah disajikan dengan persembahan orkestra daripada kumpulan muzik tradisional Saudi serta majlis makan malam atas jemputan Putera Badr serta Pusat Warisan Abdul Aziz.

Antara inisiatif baru Kementerian Kebudayaan ialah memberikan sokomngan kepada seniman, program biasiswa, anugerah seni, pesta budaya, pameran, perpustakaan, minggu fesyen, panggung nasional, arkeb filem nasional, bandar budaya serta skim visa untuk seniman antarabangsa datang mengunjungi Arab Saudi.

Putera Badr juga bertitah, “Hari ini telah mencatatkan satu titik perubahan dalam sejarah negara kita. Ia adalah sesuatu yang amat jarang dilakukan dalam kebangkitan budaya yang ketara. Namun inilah yang berlaku.

Bagi masa sdepan anak-anak, kita akan membangunkan Arab Saudi dengan ruang yang menyemarakkan semangat kreativiti, yakin kepada sejarah silam mereka, dan melangkah gagah ke arah masa depan bagi menghadapi dunia,” titah baginda lagi.

Transformasi budaya Arab Saudi itu telah mendapat sokongan mantap daripada seniman konseptual tersohor Arab Saudi serta Aram Kabbani, salah seorang perunding fesyen serta seni pakaian yang terkenal.

PEMBAHARUAN DI BAWAH PUTERA ARAB SAUDI MENDAPAT SANJUNGAN SELURUH DUNIA – ARIF ALVI

Featured

Presiden Pakistan, Arif Alvi, menyatakan bahawa dunia sedang memberikan perhatian dan kagum dengan pembaharuan dasar kerajaan Arab Saudi yang dibawa oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagaimana disuratkan dalam strategi Wawasan 2030.

Presiden Pakistan menerima baik kunjungan Putera Mahkota Arab Saudi,
Mohammed bin Salman

Dalam satu temu bual dengan media Arab News, pada 18 Feb 2019, di Islamabad, Arif Alvi menjelaskan, hala tuju Arab Saudi untuk kesederhanaan dan pemodenan amatlah penting.

Dunia tahu kepentingan itu kerana ia memberi kesan kepada banyak negara terutamanya negara Islam yang sering mendapat keprihatinan Arab Saudi selama ini.

“Pembaharuan di bawah kepimpinan Putera Mahkota itu amat penting dan ia mendapat perhatian serta sanjungan di seluruh dunia,” kata Arif Alvi.  

Peta hala tuju Wawasan 2030 Arab Saudi yang diterajui Putera Mahkota Mohammed bin Salman

Dasar Arab Saudi yang menentang ekstremisme global amat dihargai dan ia selari dengan dasar Pakistan untuk memerangi ekstremisme dan hasutan golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Ia amat penting untuk menyampaikan maklumat yang betul dan benar kepada rakyat yang kadang kala dihasut misalnya tentang prinsip-prinsip keislaman dan kemudiannya mengambil tindakan yang terpesong,” katanya.

Terdapat persamaan antara Arab Saudi dan Pakistan dalam isu menentang ekstremisme.

Modernisasi di Arab Saudi akan dapat menyelamatkan rakyat daripada ektremisme dan memberikan peluang kepada rakyat untuk memperbaiki kehidupan mereka.

“Matlamat hala tuju Arab Saudi amatlah selari dan serupa dengan apa yang kerajaan Pakistan sedang usahakan”, kata Arif lagi.

Bagi merealisasikan Wawasan 2030, kerajaan Arab Saudi perlu mempelbagaikan ekonomi negara baik secara domestik mahupun pada pentas antarabangsa.

“Pastinya Arab Saudi memerlukan negara yang baik untuk pelaburan, dan Pakistan adalah negara yang amat sesuai,” katanya lagi kerana kedua-dua negara mempunyai dasar terbuka yang serupa.

Dasar perlindungan ke atas pelabur asing di Pakistan pastinya menjadi tarikan kepada Arab Saudi.

Malahan Pakistan juga amat tertarik dengan dasar Putera Mahkota untuk menentang rasuah.

Arif berpendapat bahawa sejak parti Pakistan Tehreek-e-Insaf ditubuhkan pada 1996, objektif utama  adalah menentang rasuah kerana mereka percaya bahawa rasuah ada di mana-mana di Pakistan.

Taraf hidup yang semakin merosot, dan peningkatan kadar kemiskinan, semuanya ada kaitan dengan rasuah.

Putera Mahkota, Mohammed bin Salam menerajui usaha memerangi rasuah di Arab Saudi

Dengan itu Pakistan dan Arab Saudi sebagaimana yang dilakukan oleh Yang Mulia Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman mendukung dasar dan prinsip yang serupa tentang rasuah di bawah pentadbiran Perdana Menteri Imran Khan.

Pakistan juga merujuk kejayaan China dalam memerangi rasuah dan Pakistan sedang mengambil pendirian yang sama. Pendekatan Pakistan untuk menentang rasuah telah meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa.

Pakistan telah menjalin hubungan baik dengan Arab Saudi dan rakyatnya. Kedua negara menjalin hubungan sebagaimana saudara kandung, dan mengambil berat akan kebajikan serta keselamatan masing-masing.

‘Dua Masjid Suci’ Islam: Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang mesti dipertahankan

Arif juga menegaskan bahawa apa jua bahaya yang mengancam ‘Dua Masjid Suci’ atau apa jua bahaya kepada rakyat Arab Saudi, ia adalah bahaya yang sama kepada rakyat kami dan negara kami. Dengan itu kami tidak berlengah untuk membantu mempertahankan Arab Saudi.

*Tamat*

HOUTHI MENGGANAS DI YAMAN

Oleh Dr Alimin Muslimin

Konflik perang saudara di Yaman telah tercetus kerana perbezaan fahaman keagamaan antara penganut Islam Sunni dengan puak Syiah yang ditajai oleh negara Syiah Iran.

Kesesatan golongan Syiah terlihat pada amalan-amalan yang menyelewengkan akidah yang tidak berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya mereka mempunyai kitab mereka sendiri.

Yaman sebuah negara miskin yang sedang cuba sedaya upayanya untuk membangun dari aspek ekonomi sekaligus menentang kemiskinan, kelaparan, kesihatan dan penyakit berjangkit.

Namun kemelut politik seakan-akan menghancurkan segala usaha untuk merobah struktur ekonominya dan menentang masalah yang bertitik tolak daripada kemiskinan.

Kini Yaman ditujah dengan perang saudara yang amat dahsyat dengan penglibatan kerajaan Syiah Iran yang menyokong puak Houthi dan mengambil kesempatan daripada gejala kemiskinan rakyat Yaman.

Perang saudara Yaman itu telah meragut lebih 10,000 nyawa dan mengheret 15 juta rakyat Yaman ke kancah krisis makanan, manakala 5 juta lagi terjerumus dalam krisis kebuluran.

Segalanya bermula dengan isu kecil yang tidak wajar diapi-apikan sebaliknya ia terus membakar kehidupan rakyat yang sedia dihimpit dengan kemiskinan dan kebuluran.

Isu yang dilihat sebagai punca meletusnya perang saudara di Yaman ialah isu perselisihan antara golongan Syiah dan Sunni yang berfahaman Ahlul Sunnah Waljamaah yang meletus sejak 2015. Namun dilihat juga oleh penganalisis geopolitik sebagai telah disemarakkan oleh gejala ‘Arab Spring’ pada 2011.

Kemelut perselisihan menjadi lebih parah apabila negara Syiah Iran yang sememangnya cuba melebarkan pengaruh fahaman sesatnya dalam kalangan umat Islam yang berpegang kepada Ahlul Sunnah Waljamaah di Timur Tengah.

Hasilnya sehingga sekarang, hampir 15.9 juta penduduk Yaman berdepan masalah kekurangan makanan, 5 juta sedang menghadapi kebuluran manakala 2.8 juta lagi menjadi pelarian.

Negara-negara Islam yang menjadi jiran-tetangga serta tegar mempertahankan ajaran suci Islam yang berpegang kepada ajaran Ahlul Sunnah Waljamaah, tidak mahu berdiam diri untuk membantu Yaman.

Presiden Yaman yang sah Abdul Rabbuh Mansur Hadi terpaksa membawa diri ke Arab Saudi pada 2015 kerana ancaman peperangan yang amat rencam dan ganas.

Sejak itu Yaman berada pada tangan Ali Abdullah Saleh yang dikatakan disokong oleh puak pemberontak Houthi.

Namun pada November 2017, Ali cuba mengendurkan kuasa Houthi dengan menubuhkan pasukan ketenteraan yang tidak lagi dikuasai oleh puak pengganas Houthi.

Perubahan tersebut dilihat sebagai sambutan Ali terhadap usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta saranan perdamaian yang diterajui oleh Arab Saudi dan sokongan sembilan negara Islam yang lain yang merupakan sekutunya iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Somalia.

Lantas Ali Abdullah Saleh cuba menolak keganasan puak Syiah dan berusaha mewujudkan hubungan baik dengan mantan Presiden Abdul Rabbuh di Arab Saudi.

Dalam misi perdamaiannya, Ali cuba mengadakan perbincangan langsung untuk penyelesaian perang saudara itu, namun Ali telah ditanggapi sebagai pengkhianat dan ‘halal dibunuh,’ oleh puak pengganas Houthi.

Pada Disember 2017, Ali Abdullah Saleh telah disahkan dibunuh oleh puak Syiah di Marib Yaman ketika berada dalam kenderaannya menuju Arab Saudi dalam misi perdamaiannya dengan Presiden Abdul Rabbuh.

Sejak itu kepimpinan Syiah di Yaman diambil alih oleh waris Houthi iaitu Abdul Malik Badreddin Al-Houthi yang digolongkan oleh penganalisis geopolitik sebagai pemimpin Houthi tulen Yaman yang bersekongkol dengan kerajaan Syiah Iran.

Kematian Ali juga telah menggagalkan usaha perdamaian Arab Saudi dan sekutunya .

Pada awal bulan Januari, dron canggih pihak Houthi yang ditaja oleh Iran telah mengebom pusat tentera Yaman di Sanaa dan membunuh 5 orang tentera serta mencederakan 20 yang lain.

Dron tersebut membawa 70 hingga 100 kg bahan letupan dan diletupkan ketika pasukan tentera Yaman sedang mengadakan perbarisan. Sebagaimana biasa kerajaan Syiah Iran menafikan penglibatannya.

Duta Yaman di Malaysia, Dr Adel Mohamed Ali BA Hamid turut memperakui bahawa puak pemberontak Houthi yang dibantu oleh kerajaan Syiah Iran telah membunuh rakyat Yaman setiap hari tanpa belas kasihan.

“Puak Houthi membunuh tentera Yaman dan menjadikan kanak-kanak sebagai perisai manusia dalam peperangan tersebut.

“Kami terlalu sedih dengan kematian orang awam yang tidak bersalah,” kata Dr Adel sebagaimana dipetik daripada Bernama.

Meskipun keadaan masih belum kembali pulih namun ramai pemerhati geopolitik melihat peranan Arab Saudi sebagai usaha yang terpuji, terutamanya dalam hal membantu mangsa perang serta mempertahankan Yaman daripada pengganas Houthi.

Sementara itu, Adel memuji usaha pakatan negara Arab dalam membantu Yaman menerusi kempen ketenteraan ke atas pemberontakan Houthi.

Beliau berkata pakatan itu turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Yaman dalam membangunkan semula negara tersebut melalui Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman dan Persatuan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Informasi Yaman, Muammar Al-Iryani juga turut berterima kasih kepada Arab Saudi yang telah membantu menstabilkan situasi di Yaman dengan bantuan kemanusiaan serta kawalan ketenteraan bagi melindungi rakyat Yaman.

*End*

ARAB SAUDI SENTIASA MEMBELA PALESTIN

Featured

Oleh Dr Alimin Muslimin

Beberapa tahun lalu, saya mengenali seorang pelajar Sarjana, rakyat Palestin berusia 29 tahun, yang menuntut di sebuah universiti awam di Malaysia.

Pada hari dia menamatkan pengajiannya, saya telah bertanya adakah dia mahu tinggal dan kekal bekerja di Malaysia.

Pantas dia menjawab bahawa dia akan kembali ke Palestin dan terus berjuang membela negaranya, meskipun dia mungkin terpaksa menggadai nyawa kerana saban hari ada sahaja kematian akibat menentang keganasan Israel.

Saya bertanya lagi, tidakkah sengketa dengan Israel masih belum tamat dan kadar pengangguran agak tinggi di Palestin?

Anak-anak Palestin yang turut merasai penderitaan konflik Palestin-Israel

Dia menjawab tanpa rasa kekesalan, “Itulah dugaan Allah kepada kami, namun saya bersyukur kerana banyak negara Islam membantu survival kami, terutamanya Arab Saudi.”

Mungkin masyarakat Malaysia kurang mendalami peranan Arab Saudi sebagai negara yang tidak pernah lekang membela negara Palestin dan kebajikan rakyatnya.

Sebagai antara 10 negara yang mempunyai keupayaan ketenteraan terkuat di dunia, Arab Saudi sentiasa berada di sisi Palestin.

Malahan Raja Arab Saudi, baginda Raja Salman Abdul Aziz Al Saud pernah mengingatkan dunia bahawa Palestin sentiasa tersemat dalam hati nurani masyarakat Arab.


Raja Salman Abdul Aziz Al Saud: Palestin sentiasa di hati

Walau bagaimanapun terdapat juga kekangan geopolitik yang perlu dijaga oleh kerajaan Arab Saudi supaya kekuasaan Israel tidak merebak menjajah negara berdekatan yang lain.

Raja Salman Abdul Aziz juga telah meyakinkan para sekutu Arab, bahwa Arab Saudi akan tetap membela Palestin dan tidak akan tunduk kepada Israel dan konconya yang cuba menjadikan Baitulmuqaddis pusat pentadbiran Israel.

Pendirian Arab Saudi juga turut menjadi pegangan kepada sekutunya Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan Bahrain.

Adalah amat salah bagi sesetengah penganalisis geoplotik yang memberi persepsi bahawa Raja Salman telah mengabaikan kuasa yang ada pada baginda dalam hubungan diplomatik dengan Palestin.

Baginda Raja Salman adalah tokoh yang membuat keputusan terutamanya dalam pendirian multilateral tentang kedudukan Israel dan pembelaan terhadap Palestin serta penentangan mereka ke atas pengaruh kuasa Syiah Iran.

Dengan rancangan dan pengaruh Amerika Syarikat, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, dikatakan ditekan untuk menerima perancangan Washington yang mahu memberikan kuasa pemerintahan yang terhad kepada Palestin.

Pastinya perancangan Amerika itu menyimpang daripada Perjanjian Damai LIga Arab yang diketuai oleh Arab Saudi pada 2002 untuk kebebasan penuh Palestin dan pengunduran Israel daripada wilayah yang menjadi rebutan pada perang Palestin-Israel 1967.  

Sebagaimana pendirian dan titah Raja Salman kepada Presiden Mahmoud Abbas, “Kami (Arab Saudi) tidak akan membiarkan kamu keseorangan… Kami menerima apa yang kamu terima dan kami menolak apa yang kamu tolak.”

Persidangan Liga Arab 2018 lalu, yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Antarabangsa King Abdul Aziz di Dhahran telah diistiharkan oleh Raja Salman sebagai “Persidangan Kemuncak Bailtulmaqdis.”

Perkara asas daripada titah baginda ialah “Isu Palestin adalah isu keutamaan kita dan kekal sebagai isu utama,” dan memutuskan bahawa Bailtulmuqaddis mesti dikembalikan kepada Palestin di samping membantah keras keputusan pentadbiran Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis.

Pada persidangan itu, baginda juga telah menyumbangkan peruntukan USD50 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) dan USD150 juta kepada Program Bantuan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis sambil menegaskan bahawa Baitulmuqaddis seharusnya menjadi ibu negara Palestin.

Arab Saudi juga menggesa supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil pendirian yang tegas terhadap dasar perluasan pengaruh oleh Iran di rantau berkenaan yang mencetuskan pergolakan seperti di Syria dan Yaman.

Menurut Raja Salman, keselamatan dunia Arab adalah satu sistem yang lengkap dan tidak dapat memisahkan Palestin. Presiden Abbas juga melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sokongan Arab Saudi dan Liga Arab terhadap rakyat Palestin, isu perjuangan Palestin, konflik tentang Baitulmuqaddis serta kawasan sucinya.

Abbas turut memuji Arab Saudi kerana terus menyokong hak rakyat Palestin menubuhkan sebuah negara bebas dengan Timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya.

*End*

ARAB SAUDI: DIVERSIFIKASI EKONOMI DALAM WAWASAN 2030

Featured

Oleh Dr Alimin Muslimin

Kesultanan Arab Saudi yang merupakan negara terbesar di rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara) dianggarkan mempunyai 15.7% sumber minyak mentah dunia dan dengan itu ia menjadi negara pengeluar petroleum terbesar dunia.

Industri pengeluaran minyak mentah Arab Saudi telah menyumbang 30-40% KDNK negara itu tidak termasuk sektor ekonomi yang melibatkan proses pemasaran minyak mentah.

Mengurangkan pergantungan ekonomi negara kepada sumber minyak telah menjadi sebahagian daripada matlamat negara sejak 1970-an lagi. Walau bagaimanapun matlamat ini tidak terlaksana secara konsisten kerana ia amat bergantung kepada harga minyak mentah dunia.

Dengan itu keutamaan telah diberikan kepada usaha untuk membangunkan sumber pendapatan kerajaan daripada pencukaian, yuran dan pendapatan daripada pelaburan luar negara.

Alternatif utama yang lain ialah untuk mengurangkan kebergantungan rakyat dan perbelanjaan awam kepada subsidi kerajaan, meningkatkan pendapatan rakyat, menambah baik kegiatan ekonomi yang disumbangkan oleh sektor swasta supaya bertambahnya peluang pekerjaan dan sekali gus meningkatkan KDNK negara.

Putera Mahkota Mohammad bin Salman, Perancang Wawasan 2030 Arab Saudi

Walau bagaimanapun, bertitik tolak pada 25 April 2016, di bawah perancang ekonominya, Putera Mahkota Mohammad bin Salman, yang juga merangkap Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan (CEDA), telah mewartakan ‘Wawasan 2030 Arab Saudi’.

Wawasan 2030 Arab Saudi mendukung tiga tunggak utama:

  1. Mempertahankan status negara sebagai pusat dunia Arab dan Islam sedunia
  2. Keazaman untuk menjadi pusat pelaburan global
  3. Menjadikan negara sebagai hub perhubungan bagi tiga benua iaitu Asia, Eropah dan Afrika

Pelan tindakan Wawasan 2030 Arab Saudi antara lain telah menggariskan perancangan utama untuk mengurangkan penggantungan negara kepada industri pengeluaran petroleum, mendiversifikasikan (mempelbagaikan) sumber ekonomi negara, membangunkan sektor perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.

Wawasan 2030 Arab Saudi juga mendukung matlamat untuk memperkukuhkan aktiviti ekonomi dan pelaburan, memperbanyakkan industri perdagangan yang bukan berasaskan minyak, serta meningkatkan perbelanjaan ketenteraan dalam aspek pembuatan senjata.

Wawasan 2030 Arab Saudi: antara matlamat wawasan

Wawasan 2030 Arab Saudi terbina atas tiga tunggak yang mengandung matlamat untuk dicapai pada tahun 2030, khususnya:

  1. Masyarakat yang beriltizam tinggi untuk meningkatkan potensi negara dalam aspek urbanisasi, budaya dan rekreasi, sukan, umrah, pusat warisan UNESCO, jangka hayat rakyat
  2. Memperkukuhkan ekonomi yang berkembang maju melalui: memperkembangkan sektor pekerjaan, membuka ruang kepada wanita sebagai tenaga kerja, persaingan antarabangsa, dana pelaburan awam, pelaburan langsung luar negara, menambahbaikkan sektor swasta, menggiatkan ekport produk bukan berasaskan petroleum
  3. Membina sebuah bangsa yang bercita-cita tinggi dengan tumpuan kepada: pendapatan industri bukan berasaskan petroleum, keberkesanan pemerintahan serta e-kerajaan, peningkatan simpanan dan pendapatan, menggiatkan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan serta bersifat sukarela

Dengan itu Wawasan 2030 Arab Saudi dilihat sebagai suatu transformasi masa depan negara yang amat proaktif bukan sahaja dari aspek diversifikasi perekonomiannya malah meliputi aspek sosio-budaya, sektor perkhidmatan, infrastruktur serta peranannya dalam peta antarabangsa sebagai juara ekonomi MENA serta kepimpinan ke-Islaman dunia.

*End*

Nota:
Dr Alimin Muslimin ialah Perunding Media dan juga merupakan sarjana geopolitik