JUARA PENENTANG LYNAS SEDANG DALAM PERHATIAN PIHAK BERKUASA

Featured

Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh yang tersohor (popular) sebagai pejuang menentang operasi kilang Lynas, kini menggelupur cuba menyembunyikan naratif fitnahnya dalam FB, setelah menjadi fokus penyiasatan SKMM dan PDRM.

Fuziah kini disiasat kerana memuat naik video palsu dalam FBnya yang memaparkan situasi pekerja Malaysia bersesak-sesak, panik dalam rempuhan di Tambak Johor, setelah Singapura mengisytiharkan ‘kawalan pergerakan.’

Fitnah Fuziah itu telah membangkitkan kegelisahan, kegusaran dan ketidakteraman awam.

Fuziah Salleh pernah sebak dengan ‘air mata buaya’, kononnya dia amat prihatin terhadap rakyat Kuantan yang akan menghadapi bencana akibat toksid daripada operasi kilang Lynas.

Namun hari ini setelah Lynas beroperasi sejak 2012 berapa ribukah rakyat Kuantan yang telah mati akibat toksid Lynas? Berapa ribukah rakyat Kuantan yang mati akibat air sungai yang dicemari oleh Lynas?

Lynas adalah pelaburan perintis kerajaan Australia di Malaysia

Pesuruhjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski menegaskan jika bantahan ke atas Lynas yang dilihat lebih bersifat politik dan bukannya berdiri atas fakta saintifik, maka pada masa hadapan syarikat-syarikat gergasi Australia yang lain, tidak mahu lagi melabur di Malaysia.

Kemudian rakyat lihat bagaimana Tun Mahathir membidas Fuziah supaya tidak ‘Layan Lynas seperti paria’, kerana Mahathir sedar Lynas tidak membawa mudarat toksid sebagaimana yang dibohongi Fuziah.

Malahan keuntungan Lynas mencecah lebih RM4bilion setahun dan membekalkan 700 pekerjaan kepada rakyat Kuantan.

Hipokrasi Fuziah terdedah apabila TS Shahrir Samad membidas tindakannya membela pekebun haram di Cameron Highlands yang menjadi punca pencemaran kepada kawasan tadahan air.

Sepatutnya Fuziah menyokong tindakan kerajaan Pahang tersebut yang komited mempertahankan kesucian kawasan tadahan air di Pahang sebagaimana dia memperjuangkan Lynas.

Terkini setelah PH tumbang, Fuziah terpinga-pinga mencari isu untuk terus mencari populariti dalam keadaan negara bertungkus-lumus memerangi wabak pandemik dunia Covid-19.

Naratif yang dimuat naik dalam FB Fuziah itu adalah fitnah yang jelas, kerana menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan, video yang dimuat naik adalah merupakan visual pada tahun lalu semasa latihan kebakaran dilakukan di bangunan berkenaan.

Gajet yang digunakan Fuziah untuk memuat naik kenyataan berkenaan telah dirampas untuk siasatan lanjut.

Pihak polis mengklasifikasikan siasatan mengikut Seksyen 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan kerana fitnah dan mengakibatkan kegusaran awam.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna perkhidmatan rangkaian komunikasi dan multimedia. 

Fuziah juga telah menyelitkan ‘caption’ “Sedang berlaku di CIQ JB, situasi di luar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapura cuba balik ke Malaysia secara beramai-ramai. Harap adalah hotel lima bintang untuk quarantine mereka.”

Datuk Ayob Khan menegaskan Malaysia tidak ada ‘dua undang-undang’, satu untuk orang awam dan satu lagi untuk Ahli Parlimen. Semua orang adalah sama dan jika melakukan kesalahan akan disiasat di bawah undang-undang yang sama.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan, juga mantan PM, DS Najib Razak, telah cuba mencari FB Fuziah Salleh, namun gagal menemuinya.

Mengapa pula dengan pantas Fuziah menyahaktifkan FBnya sekiranya benar telah berlaku rempuhan sebagaimana yang didakwanya di Tambak Johor?

Mungkin Fuziah sedang menggelupur untuk lari daripada tindakannya yang lebih merupakan fitnah, sebagaimana fitnahnya ke atas Lynas dahulu.

Ke mana Fuziah nak lari sekarang?

****