Oleh Dr Alimin Muslimin
Beberapa tahun lalu, saya mengenali seorang pelajar Sarjana, rakyat Palestin berusia 29 tahun, yang menuntut di sebuah universiti awam di Malaysia.
Pada hari dia menamatkan pengajiannya, saya telah bertanya adakah dia mahu tinggal dan kekal bekerja di Malaysia.
Pantas dia menjawab bahawa dia akan kembali ke Palestin dan terus berjuang membela negaranya, meskipun dia mungkin terpaksa menggadai nyawa kerana saban hari ada sahaja kematian akibat menentang keganasan Israel.
Saya bertanya lagi, tidakkah sengketa dengan Israel masih belum tamat dan kadar pengangguran agak tinggi di Palestin?

Dia menjawab tanpa rasa kekesalan, “Itulah dugaan Allah kepada kami, namun saya bersyukur kerana banyak negara Islam membantu survival kami, terutamanya Arab Saudi.”
Mungkin masyarakat Malaysia kurang mendalami peranan Arab Saudi sebagai negara yang tidak pernah lekang membela negara Palestin dan kebajikan rakyatnya.
Sebagai antara 10 negara yang mempunyai keupayaan ketenteraan terkuat di dunia, Arab Saudi sentiasa berada di sisi Palestin.
Malahan Raja Arab Saudi, baginda Raja Salman Abdul Aziz Al Saud pernah mengingatkan dunia bahawa Palestin sentiasa tersemat dalam hati nurani masyarakat Arab.

Raja Salman Abdul Aziz Al Saud: Palestin sentiasa di hati
Walau bagaimanapun terdapat juga kekangan geopolitik yang perlu dijaga oleh kerajaan Arab Saudi supaya kekuasaan Israel tidak merebak menjajah negara berdekatan yang lain.
Raja Salman Abdul Aziz juga telah meyakinkan para sekutu Arab, bahwa Arab Saudi akan tetap membela Palestin dan tidak akan tunduk kepada Israel dan konconya yang cuba menjadikan Baitulmuqaddis pusat pentadbiran Israel.
Pendirian Arab Saudi juga turut menjadi pegangan kepada sekutunya Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan Bahrain.
Adalah amat salah bagi sesetengah penganalisis geoplotik yang memberi persepsi bahawa Raja Salman telah mengabaikan kuasa yang ada pada baginda dalam hubungan diplomatik dengan Palestin.
Baginda Raja Salman adalah tokoh yang membuat keputusan terutamanya dalam pendirian multilateral tentang kedudukan Israel dan pembelaan terhadap Palestin serta penentangan mereka ke atas pengaruh kuasa Syiah Iran.
Dengan rancangan dan pengaruh Amerika Syarikat, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, dikatakan ditekan untuk menerima perancangan Washington yang mahu memberikan kuasa pemerintahan yang terhad kepada Palestin.
Pastinya perancangan Amerika itu menyimpang daripada Perjanjian Damai LIga Arab yang diketuai oleh Arab Saudi pada 2002 untuk kebebasan penuh Palestin dan pengunduran Israel daripada wilayah yang menjadi rebutan pada perang Palestin-Israel 1967.
Sebagaimana pendirian dan titah Raja Salman kepada Presiden Mahmoud Abbas, “Kami (Arab Saudi) tidak akan membiarkan kamu keseorangan… Kami menerima apa yang kamu terima dan kami menolak apa yang kamu tolak.”
Persidangan Liga Arab 2018 lalu, yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Antarabangsa King Abdul Aziz di Dhahran telah diistiharkan oleh Raja Salman sebagai “Persidangan Kemuncak Bailtulmaqdis.”
Perkara asas daripada titah baginda ialah “Isu Palestin adalah isu keutamaan kita dan kekal sebagai isu utama,” dan memutuskan bahawa Bailtulmuqaddis mesti dikembalikan kepada Palestin di samping membantah keras keputusan pentadbiran Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis.
Pada persidangan itu, baginda juga telah menyumbangkan peruntukan USD50 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) dan USD150 juta kepada Program Bantuan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis sambil menegaskan bahawa Baitulmuqaddis seharusnya menjadi ibu negara Palestin.
Arab Saudi juga menggesa supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil pendirian yang tegas terhadap dasar perluasan pengaruh oleh Iran di rantau berkenaan yang mencetuskan pergolakan seperti di Syria dan Yaman.
Menurut Raja Salman, keselamatan dunia Arab adalah satu sistem yang lengkap dan tidak dapat memisahkan Palestin. Presiden Abbas juga melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sokongan Arab Saudi dan Liga Arab terhadap rakyat Palestin, isu perjuangan Palestin, konflik tentang Baitulmuqaddis serta kawasan sucinya.
Abbas turut memuji Arab Saudi kerana terus menyokong hak rakyat Palestin menubuhkan sebuah negara bebas dengan Timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya.
*End*