KETUA PENGGANAS DAESH DIBURU SEBAGAI MUSUH MASYARAKAT DUNIA

Featured

Pemimpin pengganas ISIS atau dikenali juga sebagai DAESH, Abu Bakar Al-Baghdadi telah menjadi tokoh pengganas yang menjadi buruan kuasa besar dunia kerana merancang agenda keganasan bukan sahaja di Syria dan Iraq, bahkan di Eropah, Amerika dan juga Asia termasuk Asia Tenggara.

Arab News mengklasifikasikan Al-Baghdadi sebagai pengganas yang paling dikehendaki oleh kuasa dunia

Nama sebenar pemimpin tertinggi DAESH ini, ialah Ibrahim Awward Al-Badri, tetapi lebih popular dengan gelaran Abu Bakar Al-Baghdadi untuk mengangkat dirinya sebagai ‘khalifah’ yang kononnya berjuang untuk menentang puak kafirun.

Menurut Arab News, sejak kali pertama dia muncul mengisytiharkan dirinya sebagai pemimpin DAESH di Masjid utama bandar raya Mosul di utara Iraq pada 4 Julai 2014, dia jarang lagi menonjolkan dirinya.

Ramai penganalisis politik yang menyangka bahawa Baghdadi telah mati atau cedera parah dan sedang bersembunyi. Namun kemunculannya dalam satu video berdurasi 18 minit yang dimuat naik di YouTube pada 4 Mei lalu amatlah mengejutkan.

Meskipun DAESH sudah kelihatan lumpuh di Syria, kerana wilayah penguasaan mereka yang terakhir di Baghouz telahpun dirampas semula oleh pasukan tentera Barisan Demokratik Syria (SDF) , namun kejayaan SDF tidak menjanjikan kelumpuhan DAESH 100%.

Dengan kekalahan wilayah terakhir DAESH di Baghouz itu, ribuan tentera militan DAESH juga turut menyerah diri kepada SDF.

Kebimbangan ke atas DAESH adalah kerana Al-Baghdadi masih lepas bebas dan diyakini masih berkuasa ke atas pasukan militannya dan merancang untuk menyerang kawasan strategik di Eropah dan negara-negara yang dikategorikan sebagai musuh mereka, termasuk kerajaan di Asia Tenggara.

Lebih menggusarkan pemimpin dunia, adalah strategi DAESH yang merekrut ahli-ahli baru dalam kalangan penganut Islam, dengan janji ‘jihad untuk syurga’ melalui media sosial yang boleh diakses oleh pengguna Internet di seluruh dunia.

Bagi golongan yang mudah terpengaruh dengan ideologi sesat dan lebih menjurus kepada keganasan yang bertentangan dengan pegangan dan ajaran Islam, tawaran syurga oleh DAESH di samping janji sokongan kewangan, akan mudah terjerumus dengan dakyah DAESH.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh White House, Amerika, tentera DAESH direkrut daripada 40 negara dari seluruh dunia.

Amatlah mengecewakan apabila terdapat rakyat Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina malahan Singapura yang terpengaruh dengan hasutan ‘jihad dan syurga’ DAESH tersebut, dan sanggup meninggalkan tanah air untuk berjuang bersama-sama DAESH di Syria dan Iraq.

Walaupun didakwa lumpuh di Syria dan juga Iraq, namun gerakan DAESH masih ditanggapi sebagai amat berbahaya dan mengancam keamanan dunia.

Bukan sahaja Abu Bakar Al-Baghdadi yang masih hidup dan memimpin DAESH, sebaliknya pemimpin bawahannya juga masih aktif dan lepas bebas dan tidak dapat dikesan.

Major Jeneral Chris Ghika, wakil komandan pasukan bersatu anti-ISIS di Syria dan Iraq melaporkan bahawa tiada maklumat di manakah Baghdadi bersembunyi, mungkin di Syria atau Iraq, atau mungkin juga di negara lain. Ghika bersedia mengambil tindakan ketenteraan yang drastik untuk menentang Baghdadi kerana dia diatanggapi sebagai ancaman kepada keselamatan dunia.

Baghdadi bukan sahaja menjadi buruan tentera bersekutu di Syria dan Iraq, malahan penangkapan Bangdadi telah ditawarkan dengan ganjaran USD25 juta oleh Amerika.

Baghdadi dan pasukan militan DAESH di bawah kuasanya didakwa bertanggungjawab terhadap serangan keganasan di pelbagai benua termasuk Eropah yang menjadi sasarannya.

Walau bagaimanapun banyak maklumat yang mempercayai bahwa Baghdadi masih berada dan bersembunyi di Iraq.

Pada April lalu, akhbar The Sunday Times UK, telah memperolehi maklumat dan mendedahkan rancangan militan DAESH untuk melakukan serangan di Eropah dan Asia Barat.

Akhbar itu mendakwa bahawa mereka memperoleh ‘dokumen mengejutkan’ mengenai rancangan serangan itu termasuk surat-menyurat antara pegawai DAESH di Syria dan pemimpin mereka.

Dokumen itu ditemui pada pemacu keras yang dijatuhkan seorang pengganas DAESH ketika pertempuran di Syria awal tahun 2019.

Dokumen tersebut mendedahkan bagaimana DAESH terus mengendalikan rangkaian canggih antarabangsa, menggerakkan pejuangnya melepasi sempadan, membayar operasi dan merancang rompakan bank, serbuan kenderaan, pembunuhan dan menggodam komputer, kata laporan.

Tindakan kejam militan DAESH membunuh tanpa belas kasihan, di Iraq.

Satu daripada maklumat yang dibongkar The Sunday Times ialah dokumen yang ditandatangani enam pemimpin DAESH dan ditujukan kepada pemimpin tertinggi mereka, Abu Bakar Al-Baghdadi, dan timbalannya.

Dokumen itu juga telah memperincikan strategi pengganas tersebut di lokasi antarabangsa dan merujuk serangan di Paris dan serangan di Manhattan pada 2015 sebagai inspirasi.

Tujuan serangan mereka adalah untuk mencuri wang untuk membiayai operasi keganasan mereka.

Sasaran khusus yang didedahkan termasuk kereta api berkelajuan tinggi di Jerman dan jaringan paip minyak berhampiran bandar Switzerland di Basel, bersempadan dengan Perancis.

Ia menjelaskan, serangan di Eropah hanya akan dilakukan anggota DAESH yang tinggal di benua itu.

Dokumen itu juga mendedahkan, pejuang DAESH dari Eropah, Russia dan Asia Barat dihantar untuk masuk dan keluar dari Syria melalui Turki dan Iran serta mereka yang dari tengah Asia dibawa menerusi Iran.

Dalam surat itu, pemimpin DAESH meminta Al-Baghdadi membekalkan wang tunai AS$10,000 (RM41,144.64) untuk membeli senjata, motosikal dan pelbagai barangan elektronik termasuk komputer riba dan pemacu kilat.

Perkara utama yang menjadi perhatian umat Islam ialah, Al-Baghdadi atau Ibrahim Al-Badri telah mencemarkan nama baik Islam sebagai agama yang mementingkan perdamaian bukan keganasan yang membunuh orang awam yang tidak berdosa.

*****