
PADA 6 Mac 2019, sejumlah 133 warga Palestin diharamkan daripada menjejakkkan kaki ke Baitulmaqdis dan Al-Aqsa oleh rejim Israel.
Pengharaman ini didedahkan oleh peguam bagi pihak Palestin, Khaldoun Najm. Arahan pengharaman ke atas warga Palestin itu juga melibatkan termasuk pegawai kerajaan, kanak-kanak dan wanita, sebagaimana disahkan oleh Pusat Maklumat Wadi Al-Hilwa.
Regim Israel juga telah mengeluarkan waran pengusiran terhadap Menteri Hal Ehwal Baitulmaqdis, Adnan Al-Husseini, yang juga merupakan anggota Majlis Amal Baitulmaqdis.
Arahan pengusiran itu dibantah oleh Al-Husseini sebagai mencabul hak rakyat Palestin untuk menziarahi masjid suci Al-Aqsa untuk tujuan beribadat dan mengerjakan solat.
Pusat Maklumat Wadi Al-Hilwa juga mengutuk larangan dan pengusiran terhadap hak warga Palestin sebagai satu kezaliman dan tekanan rejim zalim Israel terhadap warga Palestin ke atas bumi yang menjadi sebahagian daripada negara mereka, bukan sahaja untuk beribadat dan bersolat.
Khaldoun Najm mendedahkan bahawa arahan pengusiran itu dikeluarkan berikutan isu Gerbang Ar-Rahmah yang merupakan pintu masuk laluan ke Masjidil Aqsa yang telah ditutup oleh rejim Israel sejak 2003.
Pada 5 Mac, Ketua Majlis Wakaf Al-Aqsa, Sheikh Abdul Azim Saihab serta Timbalan Pengarah Wakaf Islam dan Hal-Ehwal Al-Aqsa, Sheikh Najeh Bkerat juga telah dilarang memasuki Masjidil Aqsa sebagai lanjutan tempoh larangan yang telah dikeluarkan sebelumnya.
Tindakan rejim zalim Israel itu adalah tindak balas terhadap kedua-duanya yang telah ditahan sejurus setelah mereka menyertai protes menentang langkah rejim Israel menutup Gerbang Ar-Rahmah di Masjidil Aqsa di bahagian timur Baitulmaqdis.
Protes tersebut disertai bersama penduduk Palestin yang menganggap larangan tersebut sebagai zalim dan mencabul hak mereka untuk beribadat di masjid suci yang menjadi kiblat bagi umat Islam sebelum Masjidil Haram di Mekah.
Regim zalim Israel telah melanjutkan tempoh larangan kepada Sheikh Abdul Azim selama seminggu yang menjadikan keseluruhannya 40 hari, manakala larangan terhadap Sheikh Najeh Bkerat selama empat bulan.
Larangan tersebut tidak berasas sebaliknya dilihat sebagai tindakan menzalimi warga Palestin dan pemimpin masyarakat mereka.
Ia juga melihat sebagai tindakan menentang program ‘Membebaskan Al-Quds’ serta pengiktirafan badan dunia seperti OIC terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.
Pada Jun 2017, kira-kira 300 ribu warga Palestin di Tebing Barat, Gaza dan wilayah jajahan Israel telah mengadakan protes larangan ke Baitulmaqdis dan mendirikan solat Jumaat di luar Al-Aqsa yang dikawl oleh tentera rejim zalim Israel.
Tentera Zionis mengetatkan kawalan dari Tebing Barat menuju ke Baitul Maqdis, sementara ribuan anggota polis mengepung laluan masuk ke kota suci dan semua pintu masuk Al-Aqsa.
Hanya 100 orang penduduk Gaza yang berusia lebih 50 tahun dibenarkan melintas sempadan di Beit Hanoun untuk menuju ke Baitul Maqdis. Ahli jemaah dari Amerika, Britain, Turki, Afrika, Jordan dan Perancis turut berjaya memasuki Masjid Al-Aqsa.
*Tamat*