Oleh Dr Alimin Muslimin
Konflik perang saudara di Yaman telah tercetus kerana perbezaan fahaman keagamaan antara penganut Islam Sunni dengan puak Syiah yang ditajai oleh negara Syiah Iran.
Kesesatan golongan Syiah terlihat pada amalan-amalan yang menyelewengkan akidah yang tidak berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya mereka mempunyai kitab mereka sendiri.
Yaman sebuah negara miskin yang sedang cuba sedaya upayanya untuk membangun dari aspek ekonomi sekaligus menentang kemiskinan, kelaparan, kesihatan dan penyakit berjangkit.
Namun kemelut politik seakan-akan menghancurkan segala usaha untuk merobah struktur ekonominya dan menentang masalah yang bertitik tolak daripada kemiskinan.
Kini Yaman ditujah dengan perang saudara yang amat dahsyat dengan penglibatan kerajaan Syiah Iran yang menyokong puak Houthi dan mengambil kesempatan daripada gejala kemiskinan rakyat Yaman.
Perang saudara Yaman itu telah meragut lebih 10,000 nyawa dan mengheret 15 juta rakyat Yaman ke kancah krisis makanan, manakala 5 juta lagi terjerumus dalam krisis kebuluran.
Segalanya bermula dengan isu kecil yang tidak wajar diapi-apikan sebaliknya ia terus membakar kehidupan rakyat yang sedia dihimpit dengan kemiskinan dan kebuluran.
Isu yang dilihat sebagai punca meletusnya perang saudara di Yaman ialah isu perselisihan antara golongan Syiah dan Sunni yang berfahaman Ahlul Sunnah Waljamaah yang meletus sejak 2015. Namun dilihat juga oleh penganalisis geopolitik sebagai telah disemarakkan oleh gejala ‘Arab Spring’ pada 2011.
Kemelut perselisihan menjadi lebih parah apabila negara Syiah Iran yang sememangnya cuba melebarkan pengaruh fahaman sesatnya dalam kalangan umat Islam yang berpegang kepada Ahlul Sunnah Waljamaah di Timur Tengah.

Hasilnya sehingga sekarang, hampir 15.9 juta penduduk Yaman berdepan masalah kekurangan makanan, 5 juta sedang menghadapi kebuluran manakala 2.8 juta lagi menjadi pelarian.
Negara-negara Islam yang menjadi jiran-tetangga serta tegar mempertahankan ajaran suci Islam yang berpegang kepada ajaran Ahlul Sunnah Waljamaah, tidak mahu berdiam diri untuk membantu Yaman.
Presiden Yaman yang sah Abdul Rabbuh Mansur Hadi terpaksa membawa diri ke Arab Saudi pada 2015 kerana ancaman peperangan yang amat rencam dan ganas.
Sejak itu Yaman berada pada tangan Ali Abdullah Saleh yang dikatakan disokong oleh puak pemberontak Houthi.
Namun pada November 2017, Ali cuba mengendurkan kuasa Houthi dengan menubuhkan pasukan ketenteraan yang tidak lagi dikuasai oleh puak pengganas Houthi.
Perubahan tersebut dilihat sebagai sambutan Ali terhadap usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta saranan perdamaian yang diterajui oleh Arab Saudi dan sokongan sembilan negara Islam yang lain yang merupakan sekutunya iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Somalia.
Lantas Ali Abdullah Saleh cuba menolak keganasan puak Syiah dan berusaha mewujudkan hubungan baik dengan mantan Presiden Abdul Rabbuh di Arab Saudi.
Dalam misi perdamaiannya, Ali cuba mengadakan perbincangan langsung untuk penyelesaian perang saudara itu, namun Ali telah ditanggapi sebagai pengkhianat dan ‘halal dibunuh,’ oleh puak pengganas Houthi.
Pada Disember 2017, Ali Abdullah Saleh telah disahkan dibunuh oleh puak Syiah di Marib Yaman ketika berada dalam kenderaannya menuju Arab Saudi dalam misi perdamaiannya dengan Presiden Abdul Rabbuh.

Sejak itu kepimpinan Syiah di Yaman diambil alih oleh waris Houthi iaitu Abdul Malik Badreddin Al-Houthi yang digolongkan oleh penganalisis geopolitik sebagai pemimpin Houthi tulen Yaman yang bersekongkol dengan kerajaan Syiah Iran.
Kematian Ali juga telah menggagalkan usaha perdamaian Arab Saudi dan sekutunya .
Pada awal bulan Januari, dron canggih pihak Houthi yang ditaja oleh Iran telah mengebom pusat tentera Yaman di Sanaa dan membunuh 5 orang tentera serta mencederakan 20 yang lain.
Dron tersebut membawa 70 hingga 100 kg bahan letupan dan diletupkan ketika pasukan tentera Yaman sedang mengadakan perbarisan. Sebagaimana biasa kerajaan Syiah Iran menafikan penglibatannya.

Duta Yaman di Malaysia, Dr Adel Mohamed Ali BA Hamid turut memperakui bahawa puak pemberontak Houthi yang dibantu oleh kerajaan Syiah Iran telah membunuh rakyat Yaman setiap hari tanpa belas kasihan.
“Puak Houthi membunuh tentera Yaman dan menjadikan kanak-kanak sebagai perisai manusia dalam peperangan tersebut.
“Kami terlalu sedih dengan kematian orang awam yang tidak bersalah,” kata Dr Adel sebagaimana dipetik daripada Bernama.
Meskipun keadaan masih belum kembali pulih namun ramai pemerhati geopolitik melihat peranan Arab Saudi sebagai usaha yang terpuji, terutamanya dalam hal membantu mangsa perang serta mempertahankan Yaman daripada pengganas Houthi.
Sementara itu, Adel memuji usaha pakatan negara Arab dalam membantu Yaman menerusi kempen ketenteraan ke atas pemberontakan Houthi.
Beliau berkata pakatan itu turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Yaman dalam membangunkan semula negara tersebut melalui Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman dan Persatuan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Informasi Yaman, Muammar Al-Iryani juga turut berterima kasih kepada Arab Saudi yang telah membantu menstabilkan situasi di Yaman dengan bantuan kemanusiaan serta kawalan ketenteraan bagi melindungi rakyat Yaman.
*End*











