
Oleh Dr Alimin Muslimin
Kesultanan Arab Saudi yang merupakan negara terbesar di rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara) dianggarkan mempunyai 15.7% sumber minyak mentah dunia dan dengan itu ia menjadi negara pengeluar petroleum terbesar dunia.
Industri pengeluaran minyak mentah Arab Saudi telah menyumbang 30-40% KDNK negara itu tidak termasuk sektor ekonomi yang melibatkan proses pemasaran minyak mentah.
Mengurangkan pergantungan ekonomi negara kepada sumber minyak telah menjadi sebahagian daripada matlamat negara sejak 1970-an lagi. Walau bagaimanapun matlamat ini tidak terlaksana secara konsisten kerana ia amat bergantung kepada harga minyak mentah dunia.
Dengan itu keutamaan telah diberikan kepada usaha untuk membangunkan sumber pendapatan kerajaan daripada pencukaian, yuran dan pendapatan daripada pelaburan luar negara.
Alternatif utama yang lain ialah untuk mengurangkan kebergantungan rakyat dan perbelanjaan awam kepada subsidi kerajaan, meningkatkan pendapatan rakyat, menambah baik kegiatan ekonomi yang disumbangkan oleh sektor swasta supaya bertambahnya peluang pekerjaan dan sekali gus meningkatkan KDNK negara.

Walau bagaimanapun, bertitik tolak pada 25 April 2016, di bawah perancang ekonominya, Putera Mahkota Mohammad bin Salman, yang juga merangkap Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan (CEDA), telah mewartakan ‘Wawasan 2030 Arab Saudi’.
Wawasan 2030 Arab Saudi mendukung tiga tunggak utama:
- Mempertahankan status negara sebagai pusat dunia Arab dan Islam sedunia
- Keazaman untuk menjadi pusat pelaburan global
- Menjadikan negara sebagai hub perhubungan bagi tiga benua iaitu Asia, Eropah dan Afrika
Pelan tindakan Wawasan 2030 Arab Saudi antara lain telah menggariskan perancangan utama untuk mengurangkan penggantungan negara kepada industri pengeluaran petroleum, mendiversifikasikan (mempelbagaikan) sumber ekonomi negara, membangunkan sektor perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.
Wawasan 2030 Arab Saudi juga mendukung matlamat untuk memperkukuhkan aktiviti ekonomi dan pelaburan, memperbanyakkan industri perdagangan yang bukan berasaskan minyak, serta meningkatkan perbelanjaan ketenteraan dalam aspek pembuatan senjata.

Wawasan 2030 Arab Saudi terbina atas tiga tunggak yang mengandung matlamat untuk dicapai pada tahun 2030, khususnya:
- Masyarakat yang beriltizam tinggi untuk meningkatkan potensi negara dalam aspek urbanisasi, budaya dan rekreasi, sukan, umrah, pusat warisan UNESCO, jangka hayat rakyat
- Memperkukuhkan ekonomi yang berkembang maju melalui: memperkembangkan sektor pekerjaan, membuka ruang kepada wanita sebagai tenaga kerja, persaingan antarabangsa, dana pelaburan awam, pelaburan langsung luar negara, menambahbaikkan sektor swasta, menggiatkan ekport produk bukan berasaskan petroleum
- Membina sebuah bangsa yang bercita-cita tinggi dengan tumpuan kepada: pendapatan industri bukan berasaskan petroleum, keberkesanan pemerintahan serta e-kerajaan, peningkatan simpanan dan pendapatan, menggiatkan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan serta bersifat sukarela
Dengan itu Wawasan 2030 Arab Saudi dilihat sebagai suatu transformasi masa depan negara yang amat proaktif bukan sahaja dari aspek diversifikasi perekonomiannya malah meliputi aspek sosio-budaya, sektor perkhidmatan, infrastruktur serta peranannya dalam peta antarabangsa sebagai juara ekonomi MENA serta kepimpinan ke-Islaman dunia.
*End*
Nota:
Dr Alimin Muslimin ialah Perunding Media dan juga merupakan sarjana geopolitik